fbpx
Sartore merakam gambar haiwan berkonsepkan fotografi studio kerana hasilnya lebih cantik dan menarik untuk ditatap.

Misi rakam foto 20,000 spesies haiwan ala studio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI atas sebuah pentas penggambaran, seekor burung spoon-billed sandpiper dilihat berjalan masuk ke dalam ruangan merakam gambar sebelum terus makan seekor serangga kecil yang diletakkan sebagai umpan.

Ia dirakam membuat gerakan seperti menyapu makanannya itu menggunakan paruhnya yang menyerupai sudu, sebelum berjalan keluar dari situ.

Sesi fotografi itu dilakukan jurugambar kelahiran Amerika Syarikat (AS), Joel Sartore untuk merakam dan mengambil gambar haiwan bagi projek peribadinya, Photo Ark.

Photo Ark merupakan usaha lelaki berusia 60 tahun itu untuk merakam dan mendokumentasikan 20,000 spesies haiwan dalam kurungan di seluruh dunia.

Spesies burung itu kini berada dalam kategori diancam kepupusan, dengan hanya kurang 1,000 ekor yang masih hidup secara liar.

Ia juga merupakan spesies ke-13,000 yang dirakam Sartore.

Sartore meletakkan latar belakang putih atau hitam untuk merakam imej haiwannya kerana ia nampak lebih ‘hidup’.

Harapannya, foto-foto yang dirakam itu akan membantu memacu tindakan daripada pihak tertentu dari segi pendidikan, selain mencegah kepupusan haiwan secara besar-besaran.

“Photo Ark merupakan usaha mendesak dan terakhir daripada saya untuk cuba mendapatkan perhatian orang awam terhadap pemuliharaan haiwan,” ujarnya.
Ia merupakan koleksi potret studio haiwan terbesar di dunia yang telah dimulakan oleh Sartore pada tahun 2006.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Oklahoma itu berkata, sebelum memulakan Photo Ark, dia menghabiskan masa lebih sedekad bertugas sebagai seorang jurugambar majalah terkemuka, National Geographic, terutamanya meliputi kisah-kisah pemuliharaan haiwan terancam.

Kerjayanya itu membuatkan Sartore melihat sendiri kepupusan haiwan secara langsung.

Namun begitu, dia berasa orang awam tidak berapa berminat untuk mengambil tahu tentang perkara tersebut.

Sartore kemudian memikirkan cara untuk menarik minat orang ramai dan mula merakam foto hidupan liar.

Menariknya, dia tidak merakam gambar haiwan tersebut di habitat asal, sebaliknya dalam kurungan.

Sartore mengunjungi zoo, akuarium dan pusat rehabilitasi, lalu merakam haiwan-hawain tersebut secara individu dengan latar belakang seba putih atau hitam, persis sebuah sesi fotografi studio.

“Kaedah ini membantu mengurangkan gangguan dan membolehkan anda untuk melihat kepintaran dan keindahan haiwan-haiwan ini.

“Maka, ia wajar diabadikan,” ujarnya.

Katak pokok bermata merah merupakan salah satu spesies amfibia terancam.

Sartore memilih merakam foto haiwan dalam kurungan kerana dengan berbuat demikian, ia membolehkannya menunjukkan spesies haiwan yang sudah pupus di alam liar dan spesies yang potretnya sukar dirakam di habitat semula jadinya.

“Amat sukar untuk meyakinkan seekor harimau untuk keluar dari kawasan hutan di India untuk dirakam gambarnya,” ujarnya.

Katanya, kaedah fotografi studio juga membolehkannya merakam foto haiwan dalam persekitaran terkawal.

Ini bermakna,pihak zoo dan penjaga haiwan tersebut mampu memberikan nasihat dari sudut tingkah laku spesies tersebut.

Respons dan sambutan terhadap koleksi foto Sartore adalah besar dan dia kini mempunyai lebih 1.6 juta pengikut di laman Instagramnya, malah koleksi buku-buku Photo Ark juga cukup laris.

Imej-imej ikonik yang dirakam Sartore juga pernah dipancarkan di bangunan Empire State di New York dan St. Peter’s Basilica dan Vatican.

Namun, satu tanda suka di Instagram tidak membawa maksud orang ramai sudah menyokong usaha pemuliharaan Sartore.

Dia berharap, dengan meningkatkan kesedaran berkenaan spesies-spesies haiwan ini, ia mampu membantu memberikan sokongan terhadap usaha dan langkah-langkah pemuliharaan haiwan.

Menurut Gary Ward yang merupakan kurator burung di Zoo London, yang sebelum ini pernah menjadi lokasi penggambaran Sartore percaya bahawa gambar mampu memberi kesedaran dan publisiti terhadap spesies haiwan yang kurang diketahui.

“Melihat gambar adalah langkah pertama terhadap penjagaan dan penjagaan pula merupakan langkah pertama dalam tindakan pemuliharaan.

“Gaya penggambaran unik Sartore membolehkan orang ramai menumpukan sepenuhnya perhatian pada kecantikan dan keunikan setiap haiwan tersebut,” ujar Ward.

Singa gunung betina bernama Lucy yang dirakam Sartore di Zoo Tampa Lowry Park, Florida, AS merupakan antara imej paling disukainya.

Dia juga menyifatkan rakaman imej yang diambil Sartore telah memberikan tumpuan terhadap zoo, akuarium dan program pembiakan di seluruh dunia.

Ini jelasnya, amat penting dalam kelangsungan banyak spesies haiwan yang ada di seluruh dunia.

Ward juga amat mengagumi usaha Sartore dalam memberikan perhatian terhadap semua haiwan daripada spesies yang kecil sehinggalah haiwan yang besar.

“Sekiranya kita tidak memberi perhatian yang bermakna kepada serangga dan amfibia serta spesies yang lain yang mungkin secara tradisinya dianggap kurang menarik, maka kita mengabaikan lebih daripada 95 peratus biodiversiti dunia,” katanya.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu per empat daripada kesemua spesies haiwan di dunia diancam kepupusan dan amfibia merupakan kumpulan haiwan paling berisiko.

Kongsi Sartore, dia amat mengingati momen merakam foto satu-satunya spesies katak pokok Rabb’s fringe-limbed yang masih hidup yang dinamakan Toughie.

Toughie bagaimanapun mati pada 2016, sekaligus menjadikan spesies itu terus pupus.

Sartore berharap, koleksi Photo Ark akan memberikan gambaran tentang kehidupan di Bumi ini sebelum spesies-spesies tersebut pupus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN