fbpx
Ahmad Zahid ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

[VIDEO] Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mendengar keputusan sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri di atas 40 pertuduhan menerima rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Presiden UMNO itu tiba kira-kira pukul 8.40 pagi ini dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) warna putih.

Sejurus tiba, kenderaan itu dilihat berhenti di hadapan pintu masuk mahkamah yang kemudian beliau berjumpa kira-kira 100 penyokongnya.

Selain penyokong, beberapa pemimpin UMNO juga turut hadir bagi memberi sokongan antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Untuk rekod, perbicaraan kes ini memakan masa selama 29 hari yang mana ia bermula pada 24 Mei 2021 dan selesai pada 11 Ogos lalu.

Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil seramai 18 saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Mengikut pertuduhan utama Ahmad Zahid didakwa dan mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Presiden UMNO itu juga turut mengaku tidak bersalah atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya yang turut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – KOSMO! ONLINE

POPULAR