fbpx

Erry terkilan isu doping angkat berat tidak kunjung padam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRY melahirkan rasa terkilan dengan segelintir atlet yang cuai dalam penjagaan minum dan makan sehingga gagal ujian doping pada Sukma MSN 2022. - MSN WILAYAH PERSEKUTUAN

ATLET angkat berat negara, Erry Hidayat menegaskan, dia akan mengambil tindakan sama dalam menangani isu doping jika menjadi Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Pada Isnin lalu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengambil tindakan drastik apabila menarik diri untuk mengendalikan Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 susulan tindakan untuk menggantung kontinjen yang terpalit dalam isu doping tidak disambut baik.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel itu berkata, dia terkejut selepas mendengar mengenai tiga atlet angkat berat yang didapati positif.

Justeru, dia terkilan selepas usaha dia dan atlet kebangsaan lain yang bertungkus lumus untuk membersihkan nama baik sukan tersebut sekali lagi dicemari.

Tahun lalu, skuad angkat berat kebangsaan dibubarkan bagi proses pembersihan gara-gara kes doping.

“Sudah tentu ia sangat mengecewakan, ia mencemarkan imej sukan itu. Saya, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin telah cuba sedaya upaya untuk membantu membersihkan imej sukan itu.

“Kami berkorban dan terus berlatih semasa pasukan dibubarkan walaupun tidak menerima sebarang gaji.

“Selepas masalah doping dikesan semula, saya juga kecewa dan pasti saya juga akan mengambil tindakan yang sama jika saya menjadi presiden PABM.

“Saya nasihatkan kepada semua junior supaya berhati-hati dengan apa yang anda makan. Sentiasa periksa dahulu, pil diet, ubat asma dan juga makanan atau meninuman yang boleh menyebabkan ujian positif.

“Saya jadi sampai trauma dan hari ini bila saya meninggalkan minuman saya akan buang dan buka botol baru. Kita tidak tahu niat orang di luar sana,” katanya.

Erry yang beraksi bersama pasukan Wilayah Persekutuan berjaya meraih pingat emas di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya walaupun bersaing dalam kelas 81 kilogram (kg) berbanding acara kegemarannya iaitu 73kg. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI