fbpx

Agong, Raja Permaisuri selamat tiba dari UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan khas selama enam hari ke London, United Kingdom (UK) bermula 16 September lalu.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook berkata, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 11.30 pagi.

“Lawatan khas itu bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lepas.

“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria,” katanya hari ini.

Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan melintasi barisan Kawalan Kehormatan Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Mejar Ammar Badrul Zaman.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md. Salleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI