fbpx

1,136 jururawat kontrak dilantik jawatan tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy (kanan) melihat pameran dari Pharmaniaga pada Majlis Persidangan Kerjasama Jururawat Malaysia dan Singapura ke25 di Hotel Thistle, Johor Bahru disini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperakukan pelantikan tetap seramai 1,136 Jururawat Gred U29 kontrak keluaran Institut Latihan KKM pada suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak dan masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19 turut akan diserap untuk lantikan tetap.

Beliau berkata, langkah itu bagi menghargai sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh jururawat kontrak yang masih berkhidmat di KKM.

“KKM akan memperakukan pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) secara berfasa pada suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan. Pelantikan tetap ini juga melibatkan jururawat masyarakat gred U19 sebagai jururawat gred U29.

“Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap secara PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

“KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Khairy berkata, pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

Katanya, KKM bercadang untuk menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan Jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kementerian turut menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 Jururawat yang memiliki ijazah sarjana muda kejururawatan yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Jelasnya, tawaran kenaikan pangkat itu dibuat pada 17 Oktober ini melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36.

“Sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh SPA yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

“KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan bermula tahun depan hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada 2023, 125 jawatan pada 2024 dan 38 jawatan lagi pada 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI