CADANGAN memperkenalkan sistem pengundian elektronik (e-voting) dalam pilihan raya dilihat bakal membuka lembaran baharu terhadap landskap demokrasi negara yang selama ini bergantung kepada kaedah undi fizikal.
Dalam konteks ini, walaupun sistem itu berupaya meningkatkan kecekapan, menjimatkan kos dan mempercepat proses pengiraan undi, namun persoalan mengenai keselamatan siber, ketelusan dan tahap keyakinan rakyat terhadap integriti kekal menjadi keutamaan.
Oleh itu, sebarang langkah ke arah pelaksanaannya memerlukan penelitian menyeluruh agar transformasi digital tidak mengorbankan prinsip demokrasi yang bebas, adil dan telus.
Menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang- Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melaksanakan proses mengundi online bagi meningkatkan jumlah pengundian.
“Persoalan harus dilontarkan, dengan kemunculan pelbagai kemudahan canggih, kenapa kita masih gagal mengunakannya untuk memudahkan urusan harian termasuk proses pengundian.
“Kita seharusnya memodenkan sistem pengundian dengan melaksanakan secara dalam talian atau pengundian elektronik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menerusi cadangan ini, SPR perlu mengambil contoh beberapa negara yang melaksanakan kaedah itu seperti Baltik dan Estonia.
Katanya, rakyat Estonia mengundi melalui telefon bimbit selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pada Mei 2024.
RUU itu membolehkan pengundian elektronik bukan sahaja dilakukan menerusi komputer, tetapi aplikasi khas pada peranti mudah alih.
Untuk Malaysia, katanya, pelbagai soalan harus dilontarkan antaranya sampai bila pengundi perlu mengharungi cuaca yang tidak menentu dan beratur panjang semata-mata untuk mengundi.
“Sampai bila hendak minta pengundi mengotorkan jari dengan mencelup jari ke dalam dakwat untuk mengesahkan mereka sudah selesai mengundi?
“Banyak lagi soalan harus dilontarkan kepada pihak kerajaan khususnya SPR berhubung perkara ini.
“Kita tidak boleh lagi berterusan menyusahkan para pengundi untuk mengundi. Kemunculan pelbagai kemudahan teknologi sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memudahkan urusan harian rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pengundi tidak boleh lagi bergantung harap sepenuhnya kepada proses mengundi secara fizikal yang mana ia dilihat menggunakan banyak tenaga dan perbelanjaan wang yang banyak.
“Zaman sudah berubah, jadi sudah sampai masanya negara kita mengambil satu langkah yang proaktif dan inovatif dengan melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya.
“Proses pengundian secara elektronik dilihat mudah dan dapat meningkatkan penglibatan lebih ramai pengundi berdaftar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi ketika menghadapi proses pilihan raya.
“Dengan kewujudan teknologi masa kini, tidak menjadi masalah besar untuk Malaysia melaksanakan proses mengundi secara elektronik,” katanya.














