fbpx
SERAMAI 2.6 juta pencarum KWSP hanya ada simpanan RM1,000 dan ke bawah setakat Disember 2021. – GAMBAR HIASAN

Warga emas kerja sampai hujung nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bagi meneruskan kelangsungan hidup, seramai 1.2 juta pekerja dan pesara swasta yang berumur di antara 55 hingga 64 tahun kini masih meneruskan pekerjaan dan sebahagian mereka terpaksa kembali bekerja dengan melakukan pelbagai tugas.

Selain kos sara hidup yang meningkat, kekurangan dana persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas banyak dihabiskan melalui pelbagai skim pengeluaran khas menjadi punca utama mereka kembali bekerja selepas bersara.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, golongan warga emas yang kembali bekerja kini sudah menjadi trend dan bila­ngan mereka itu dijangka terus mening­kat setiap tahun.

Menurutnya, sehingga tahun ini, jumlah pekerja berumur di antara 55 hingga 64 tahun adalah seramai 1.2 juta orang iaitu 7.7 peratus daripada jumlah mereka yang bekerja iaitu 15.7 juta.

“Kekurangan dana persaraan, tiada sumber pendapatan lain selepas pencen, wang simpanan tidak cukup dan kos sara hidup tinggi telah mengganggu waktu rehat warga emas di Malaysia daripada bersara apabila mencapai umur 60 tahun,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau memberitahu, umur bersara sektor swasta adalah 60 tahun dan dianggarkan kira kira 600,000 pekerja masih berkhidmat meskipun melebihi tempoh umur tersebut.

Katanya, warga emas itu dite­ruskan perkhidmatan kerana me­reka mempunyai kemahiran dan berdedikasi terhadap tuga­san yang diberikan.

“Pada amnya majikan akan menawarkan pekerjaan kepada mereka yang bersara berdasarkan kepada prestasi kerja dan juga rekod disiplin yang baik.

“Mereka juga mahu bekerja kembali atas pelbagai faktor,” ujarnya.

SELAIN kembali bekerja selepas bersara, ada pesara yang menjalankan perniagaan untuk meneruskan kehidupan. – GAMBAR HIASAN

Dr. Syed Hussain berkata, faktor lain pula adalah kemudahan kesihatan yang lebih baik di Malaysia telah mengurangkan kadar jangka hayat dan meningkatkan purata jangka hayat golongan tersebut.

Ujarnya, daripada 71.3 tahun (1990 hingga 1995) ke 74.5 tahun (2010 hingga 2015), purata jangka hayat diramalkan meningkat kepada 80.1 menjelang tahun 2045 hingga 2050.

Sehubungan itu, MEF mencadangkan agar satu pelan nasional digubal bagi memastikan negara mempunyai rancangan yang holistik untuk warga yang berumur 60 tahun ke atas.

“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan masih be­kerja perlu diberi insentif cukai peribadi yang menarik. Majikan yang menggajikan mereka juga hendaklah diberi tolakan cukai berganda,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kong­res Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pelbagai jenis pengeluaran KWSP yang diper­kenalkan ketika pandemik sebelum ini menjadi antara punca pengurusan kewangan pekerja swasta tidak teratur dan mengganggu persaraan mereka.

“Untuk meneruskan kelangsungan hidup, pekerja sektor swasta ini terpaksa melakukan pelbagai kerja.

“Jadi kita perlu lihat semula berkaitan simpanan pesara ini untuk kekal cukup selepas bersara,” ujarnya.

Beliau berkata, MTUC berharap Bajet 2023 akan menyalurkan bantuan kepada golongan warga emas yang kembali bekerja agar mereka dapat menikmati alam persaraan dengan lebih selesa.

Mengikut laporan, seramai 2.6 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah setakat Disember 2021. Ini merupakan peningkatan seba­nyak 86 peratus berbanding 1.4 juta pencarum pada April 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, ini menyebabkan mereka hanya mempunyai RM42 sebulan untuk dibelanjakan dalam tempoh 20 tahun selepas persaraan.

Selain itu, kira-kira 6.1 juta pencarum berusia kurang 55 tahun, yang mewakili sekitar 50 peratus daripada golongan itu, mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah selepas persaraan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN