WAWA ZAINAL kini menjadi sosok sempurna, bahkan mungkin dicemburui banyak wanita.
Sekitar sedekad lalu, dia mula memberanikan diri dengan melakar nama dalam bidang penuh glamor dan diminati ramai ini sebagai anak seni bernama pelakon.
Perlahan demi perlahan, kerjaya mekar seiring bakat lakonan yang dianugerahkan kepadanya.
Sebelum terjun menjadi anak wayang, Wawa sebelum itu sejak zaman kanak-kanaknya sudah mula aktif dalam dunia peragaan sedari umur 12 tahun.
Ketika namanya mula memuncak sekitar 10 tahun lalu, tiba-tiba satu Malaysia terutama dalam kalangan pencinta cerita hiburan terkejut dengan berita mengenai perkahwinannya bersama aktor, Aeril Zafrel.
Perkahwinan yang mulanya dirahsiakan wanita kelahiran Lahad Datu, Sabah itu diam tidak diam membawa sinar bahagia buat keluarga kecilnya selepas dikurniakan empat orang cahaya mata.
Bertahun memahat nama sebagai anak seni, Wawa tidak terlepas daripada mencuba perkara baharu sama seperti anak seni lain yang turut aktif mengacara serta berniaga.
Tidak keterlaluan andai dikatakan Wawa kini lebih terarah dan fokus kepada pelbagai cabang perniagaan berbanding lakonan yang pernah menjadi sumber utamanya sebelum ini.

Masih berlakon
Bercerita lanjut, pelakon filem Sabda Kekasih yang juga berperanan sebagai penerbit itu berkata, dia sebenarnya masih sahaja aktif berlakon dan tidak pernah sekali pun meninggalkan cinta pertamanya itu.
Ujar Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, cumanya buat masa ini dia memang memberi fokus kepada perniagaan yang diusahakan bersama suami.
“Jujur kalau ikutkan saya masih berlakon, cumanya saya dah kurang ambil tawaran. Bukan sebab memilih atau bagaimana, tetapi belum kena dengan apa yang saya nak.
“Maksudnya di sini adalah, saya masih belum menerima tawaran watak yang betul-betul saya mahukan.
“Lagipun sekarang ni pun saya memang sibuk siang dan malam uruskan perniagaan yang dah jadi keutamaan kami berdua. Jadi buat masa ini, biarlah saya berniaga dulu,” katanya.
Wawa sedar ramai dalam kalangan peminat merindui dan sering tertanya-tanya, adakah dia sudah tiada hati untuk berlakon seperti dahulu.
Ujar Wawa, tidak pernah ada istilah cuci tangan mahupun berhenti berlakon kerana minat dan cintanya dalam bidang yang mula memperkenalkan namanya itu masih menebal.
“Tak mungkinlah saya nak berhenti terus daripada berlakon. Benda tu dah sebahagian besar daripada hidup dan jiwa saya.
“Nanti kalau sudah bersedia dan ada naskhah sesuai yang boleh saya terima serta beri komitmen, pasti saya akan terima,” katanya.

Tak ambil pusing
Bercakap saja fasal Wawa dan Aeril, merpati dua sejoli ini tidak pernah terlepas juga daripada kecaman serta hentaman netizen dalam media sosial.
Pantang saja buat hantaran mengenai bercuti ke luar negara atau apa sahaja yang nampak ‘mewah’ di mata netizen, pasti dalam ruangan komen penuh dengan kata-kata nista tersebut.
Maklum dengan skeptikal netizen tentang situasi tersebut, Wawa tiada pilihan selain hanya membiarkan mulut manusia terus berkata-kata.
“Benda memang berlaku walau sampai sekarang dan apa pun ‘post’ yang saya dan Ariel buat. Tak kisahlah kami berjalan, makan atau sambut ulang tahun anak sekali pun.
“Sumpah tiada seinci pun niat nak menunjuk atau sebagainya.
“Tapi dah nama pun manusia bergelar netizen, jadi apapun yang mereka nak kecam atau tak puas hati silakan.
“Saya sendiri tiada cara nak tutup mulut mereka. Saya okey saja.
“Bagi saya, saya tiada kuasa nak layan semua benda-benda tersebut lagi-lagi boleh sampai memudaratkan kesihatan mental,” katanya.
Tambah Wawa, mustahil dan tipu kalau dia sendiri tidak pernah terasa hati dengan apa yang dilemparkan netizen, tetapi enggan diambil pusing secara serius.

Tolak gimik murahan
Selaku usahawan muda bahkan begitu dekat dengan media sosial, Wawa diminta memberi pandangan peribadinya tentang kemaruk banyak usahawan popular kini mencetuskan sensasi tiket mencari makan.
Adakah publisiti atau gimik murahan perlu bagi melariskan sesebuah perniagaan? Wawa menolak perkara tersebut.
Kata Wawa, gimik bergantung kepada pendekatan setiap individu.
Untuk Wawa sendiri, dia tidak akan sesekali menggunakan kaedah gimik murahan sebagai cara untuk melariskan perniagaan yang dijalankannya.
“Gimik atau apa sahaja yang strategi terpulang kepada individu atau usahawan itu sendiri, kalau rasa nak guna cara murahan dan memerlukan gimik bagi melariskan jualan, teruskan.
“Kalau tanya saya, saya tak minat cara begitu. Bagi saya, biarlah kualiti dan mutu produk itu sendiri yang menentukan laris atau tidak jualan kita.
“Kalau kita ikhlas berniaga dan bukan demi mengejar untung semata-mata, pasti orang akan support (beri sokongan) tanpa perlu gimik atau sebagainya,” tuturnya menamatkan bicara.















