fbpx
Dua ekor gajah liar, Wea dan Sey dipindahkan dalam satu operasi di Kampung Sungai Peria, Kuala Krai. - Foto ROSMIZAN RESDI

Empat jam pindah Wea, Sey ceroboh kebun penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa empat jam memindahkan dua ekor gajah liar jantan hari ini yang dipercayai memusnahkan tanaman selain menceroboh kawasan rumah penduduk di Kampung Sungai Peria, Kampung Lepan Jenut dan Manek Urai di sini sejak dua bulan lalu.

Kerja-kerja memindahkan dua ekor gajah yang diberi nama Wea dan Sey berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun itu dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Sungai Deka, Hulu Terengganu

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd. Hafid Rohani berkata, seramai 26 kakitangan PKGK Kuala Gandah, Pusat Konservasi Gajah Terengganu dan Perhilitan Kelantan membantu dalam operasi pemindahan itu.

Menurutnya, kedua-dua gajah liar itu akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara, Terengganu.

“Operasi menangkap dua ekor gajah liar itu dilakukan pada Khamis lalu yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jabatan Perhilitan Kelantan pada Khamis lalu.

“Kedua-dua ekor gajah itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal Sungai Rek di sini. Populasi gajah liar yang tinggal kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi pemindahan gajah oleh Perhilitan Kelantan.

Menurut Mohd. Hafid, kedua-dua ekor gajah liar yang ditangkap itu terdiri daripada kumpulan gajah yang sama mengganggu tanaman penduduk di beberapa buah perkampungan di Lata Rek antaranya di Kampung Tok Uban dan Kampung Chatin sejak Mei lalu.

Katanya, beberapa siri operasi tangkapan telah dijalankan di kawasan berkenaan sebelum ini, namun tidak berhasil menangkap haiwan liar itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Hafid berkata, pihaknya telah menangkap sebanyak 14 ekor gajah liar sepanjang tahun ini dengan enam ekor di Jeli, Gua Musang (empat ekor) dan Kuala Krai (empat ekor).

“Oleh itu, cadangan pembinaan sistem pagar eletrik gajah (SPEG) merupakan langkah terbaik bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun sekali gus dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.

“Bagaimanapun, pembinaan SPEG perlu dijalankan mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan ia berfungsi dan efektif, katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR