fbpx

Roger Federer umum persaraan rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FEDERER membuat keputusan untuk bersara selepas aksi Piala Laver setelah 24 tahun berada dalam arena tenis profesional. – AFP

GENEVA – Selepas mengharungi perjalanan yang menakjubkan selama 24 tahun dalam sukan tenis, legenda Switzerland, Roger Federer bakal menutup karier­nya sebaik beraksi di Piala Laver minggu depan.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam tersebut mengakui membuat keputusan untuk bersara selepas bergelut dengan masalah lutut sejak tiga tahun lalu sekali gus hanya membuat penampilan tiga daripada 11 Grand Slam yang berlangsung sejak awal 2020.

Federer yang kini berusia 41 tahun itu menjelaskan badannya telah memberi isyarat bahawa sudah tiba masa untuk menamatkan kariernya dalam sukan tenis.

“Piala Laver minggu depan di London akan menjadi penampilan ATP terakhir saya. Perjalanan karier saya selama 24 tahun adalah sangat luar biasa.

“Saya sudah bekerja keras untuk kembali kompetitif, tetapi saya juga sedar kemampuan badan saya dan isyarat itu sudah diberikan sejak kebelakangan ini.

“Saya berumur 41 tahun dan saya telah bermain lebih daripada 1,500 perlawanan dalam tempoh 24 tahun. Ini adalah masanya untuk menamatkan kerjaya kompetitif saya,” katanya.

Federer tidak beraksi sejak tewas di suku akhir Wimbledon pada 2021, malah telah menjalani pembedahan lutut ketiganya dalam tempoh 18 bulan.

Sementara itu, Rafael Nadal yang dianggap pesaing terbesar Federer memberi satu penghormatan kerana dapat berkongsi gelanggang bersaing dengan ja­guh Switzerland tersebut.

Nadal dan Federer berentap satu sama lain sebanyak 40 kali, termasuk dalam sembilan perlawanan akhir Grand Slam dan Nadal memegang rekod kemena­ngan 24-16.

“Ia adalah hari yang menyedih­kan bagi saya secara peribadi dan untuk peminat sukan tenis di seluruh dunia.

“Ia adalah satu penghormatan berkongsi gelanggang dan detik sejarah yang menakjubkan di dalam mahupun di luar gelanggang tenis,” kata Nadal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI