fbpx

Jangan pinggirkan ahli MBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imran (depan tiga kiri) pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Petaling 2022 di Plaza Shah Alam.

SHAH ALAM – Majlis Belia Selangor (MBS) berharap kerajaan negeri tidak terus meminggirkan ahli-ahli MBS dan gabungan mereka disebabkan perbezaan ideologi politik.

Menurut Presidennya, Datuk Imran Tamrin, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberi perhatian kepada kelompok tersebut yang disisihkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

“Sebagai Presiden MBS yang baharu saya berharap polisi-polisi kerajaan negeri kembali mendekati ahli MBS.

“Sebelum ini ahli-ahli MBS ditinggalkan dan dipinggirkan sejak tahun 2008 kerana perbezaan politik dan stigma yang mungkin meleset dan tersasar,” katanya selepas merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Petaling di Plaza Shah Alam di sini hari ini.

Imran berkata, misi utama beliau dan pasukannya adalah untuk kembali bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan naratif perjuangan untuk golongan muda dapat dilakukan secara seiringan.

Katanya beliau, golongan muda hari ini mempunyai fahaman politik yang berbeza dan MBS di bawah kepimpinannya meraikan perbezaan tersebut.

“Hari ini sebagai Presiden MBS yang baharu kita bukan sahaja merangkumkan dan meraikan kesemua kepelbagaian, bukan sahaja agama, bangsa dan perbezaan etnik tetapi juga meraikan kepelbagaian pandangan dan arah politik masing-masing.

“Jadi hari ini kita berharap belia dilihat sebagai belia dan bukannya belia dianggap sebagai agen atau platform yang boleh diambil kesempatan oleh parti politik, tetapi kita ingin melahirkan generasi belia yang jelas dan matang dalam aspek demokrasi dan juga sekolah politik,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, belia di negeri tidak harus terikat dengan satu-satu parti politik dan pihaknya memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih fahaman politik mereka sendiri.

“Apa yang penting menyediakan ekosistem dan kefahaman yang betul. Kesemua parti politik mempunyai tanggungjawab yang sama, baik pihak kerajaan mahupun pihak bukan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI