fbpx

Peneroka menyesal pajak ladang jadi lombong bauksit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AZLAN merenung memikirkan masa depannya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Goh di Kuantan, semalam.

KUANTAN – “Kami mahu buka buku baharu, tolonglah bantu kami,” kata Mohd. Azlan Mustafa, 39, yang merupakan generasi kedua Felda Bukit Goh di Kuantan dan hilang pendapatan hampir enam tahun lalu.

Menurutnya, aktiviti perlombongan bauksit tersebut telah menyebabkan separuh daripada tanah ladang sawit milik keluarganya dilaksanakan aktiviti perlombongan, manakala separuh lagi hanya sempat ditebang sawit sebelum moratorium dikuatkuasakan.

Susulan itu kata Mohd. Azlan, pelaksanaan moratorium menyebabkan dia dan adik beradiknya kini hilang punca pendapatan daripada ladang sawit berkenaan yang kini bertukar menjadi semak samun.

“Kini hanya saya yang tinggal di rumah Felda selepas abang meninggal dunia, manakala adik-beradik yang lain keluar dari sini mencari rezeki di tempat lain.

“Saya juga terpaksa mencari kerja lain dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Jadi saya dan generasi muda lain amat mengharapkan supaya ladang yang ada dapat dibangunkan atau ditanam semula agar tidak terbiar dan memberi pendapatan kepada kami,” katanya di sini semalam.

Menceritakan mengenai perlombongan bauksit, Mohd. Azlan berkata, dia dan adik-beradiknya bersetuju melaksanakan perlombongan bauksit bermula 2015 selepas ramai peneroka lain berbuat demikian.

Katanya, bagi memastikan penanaman semula sawit dapat dilakukan mereka juga telah membayar sebanyak RM41,000 kepada Felda sebagai bayaran untuk penanaman semula pada masa akan datang.

“Sebenarnya duit daripada bauksit memang tidak banyak sebab kami terpaksa bahagi kepada lima bahagian, malah ia juga memang tidak dapat disimpan kerana bayaran diberi sedikit demi sedikit contohnya RM6,000 sekali seminggu,” katanya.

LEBIH dua juta tan stok simpanan bauksit dianggarkan bernilai RM20 juta yang masih terdapat di Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan.

Dalam pada itu Zakaria Ismail, 48, berkata, meskipun tidak terlibat dalam perlombongan bauksit, namun pendapatannya juga terjejas memandangkan pokok sawit terlalu tua dan tidak dapat mengeluarkan hasil banyak.

Luahnya, ladangnya yang mempunyai pokok sawit berusia 25 tahun itu juga terkeluar daripada program penanaman semula Felda memandangkan terletak berhampiran kawasan perlombongan bauksit.

“Saya harap kerajaan dapat membantu kami kerana jika ­dibiarkan mungkin tanah ini akan menjadi kawasan hutan terbiar dan merugikan semua pihak, buatlah apa sahaja asalkan memberikan faedah kepada penduduk,” pintanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, seramai 402 peneroka terjejas selepas terkeluar daripada program penanaman semula ekoran bauksit.

Katanya, peneroka terlibat juga menyesal dengan kejadian ‘tragedi bauksit’ dan mengha­rapkan sinar baharu agar ladang yang ada dapat memberikan ha­sil kepada mereka dan generasi akan datang.

“Kalau hendak tanam semula sendiri memang peneroka tidak mampu dan kalau ditanam pun belum tentu tumbuh subur kerana masalah tanah.

“Jadi antara cadangan lain mungkin boleh dilakukan adalah lembah solar yang menjanjikan pendapatan awal RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI