fbpx

Terkedu tahu buah pinggang anak bongsu rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR ATHIRAH (dua dari kiri) dan Mohd. Ashraf (kanan) menunjukkan keadaan Muhammad Aqil Iskandar yang menderita penyakit buah pinggang bocor ketika ditemui di Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Sepasang suami isteri terkedu apabila anak bongsu yang disangka terkena gigitan semut rupa-rupanya menghidap penyakit sindrom nefrotik atau buah pinggang bocor yang menyebabkan badannya membengkak.

Bayi berkenaan, Muhammad Aqil Iskandar Mohd. Ashraf, 18 bulan, dikesan menghidap pe­nyakit berkenaan selepas mata, buah zakar dan perutnya membengkak dan perlu bergantung kepada ubat prednisolone.

Ibunya, Noor Athirah Abdullah, 23, berkata, pada mulanya dia dan suami, Mohd. Ashraf Mohd. Shah, 24, menyangka ia angkara semut dan terus membawa anaknya di Hospital Tuan­ku Ja’afar, Seremban.

“Selepas seminggu dirawat, doktor mengesahkan protein dalam air kencing atau buah pinggang bocor.

“Sejak itu Muhammad Aqil perlu bergantung kepada prednisolone memandangkan tiada rawatan lain yang boleh dilakukan kerana dia masih kecil,” katanya ketika ditemui di Garden Avenue, Seremban 2 di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Athirah, mereka turut mencuba pelbagai rawatan alternatif lain bagi mengubati anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Tambahnya, dia bersyukur apabila ada sedikit perubahan selepas mendapatkan rawatan alternatif dan proses pembua­ngan air kencingnya semakin baik dan tidak perlu lagi mengambil ubat lawas kencing secara kerap.

“Kos rawatan alternatif itu agak mahal antara RM400 ke RM500 untuk satu sesi,” katanya sambil memberitahu anaknya tidak boleh minum terlalu ba­nyak susu.

Jelas Noor Athirah, dia dan suaminya terpaksa berhenti kerja bulan lalu apabila terlalu kerap mengambil cuti bagi menjaga anaknya.

“Sekarang saya hanya duduk di rumah untuk memberi sepenuh perhatian kepada Muham­mad Aqil selain mengambil tempahan membuat kuih, manakala suami bekerja sebagai penghantar barang.

“Dari segi kewangan memang sekarang kena utamakan apa yang perlu terutama keperluan anak-anak seperti lampin, susu dan barang makanan,” katanya yang mempunyai anak berusia lima tahun hingga 18 bulan.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Noor Athirah di talian 018-955 3236 atau menerusi nombor akaun bank CIMB 7073181380 (Noor Athirah). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI