fbpx

MAFI mohon peruntukan tambahan Tabung Bencana Tanaman Padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hamzah (tiga kiri) menyerahkan geran bantuan kepada penerima hari ini.

KUALA SELANGOR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memohon peruntukan tambahan bagi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sekiranya banjir besar melanda negara pada November ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya setakat ini sudah membelanjakan bantuan berjumlah RM19.8 juta di seluruh negara.

Kata beliau, jumlah itu melebihi peruntukkan RM10 juta yang disediakan kementerian berkenaan pada setiap tahun.

“Jika banjir berskala besar berlaku kelak, MAFI perlu memohon bantuan Kementerian Kewangan (MOF) untuk menambah peruntukan TBTP itu.

“Langkah itu perlu sebagai kesiapsiagaan bagi membantu pesawah yang bakal terjejas dan mengalami kerugian,” katanya selepas merasmikan Seminar Peningkatan Hasil Padi di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Hamzah, TBTP itu meliputi bantuan kewangan berjumlah RM800 bagi setiap 0.4 hektar tanaman padi milik pesawah.

Tambah beliau, MAFI sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh terutama pemantauan di lokasi berisiko tinggi banjir.

“Kita turut mengarahkan kawasan terusan utama dan pengairan sawah diselenggara sepenuhnya bagi mengelak saliran tersumbat.

“Selain meningkatkan penyelenggaraan aset sedia ada, semua pam air diselenggara bagi memudahkan pembuangan air ke parit jika banjir melanda kawasan sawah,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ahmad Hamzah,
penjadualan semula bekalan air di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor akan dilaksanakan sepenuhnya bermula Januari tahun depan.

“Penjadualan itu melibatkan empat Kawasan Perkhidmatan Pengairan (ISA) 1 hingga ISA 4 seluas 19.8 hektar.

“Cadangan perubahan semula jadual itu dibuat berikutan berlaku kekurangan air yang teruk pada 2015 sehingga terpaksa dilewatkan selama 15 hari,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI