fbpx

Pensyarah universiti didakwa 9 pertuduhan kemuka tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa tiga jenis kenderaan trak pikap dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488 empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut tujuh pertuduhan utama, lelaki itu didakwa sebagai pensyarah kanan telah dengan niat memperdayakan Jabatan Bendahari, sebuah universiti tempatan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran sewa tiga jenis kenderaan iaitu trak pikap jenis Ford Ranger, Toyota Hilux dan Chevrolet Colorado yang mana sewaan itu dibuat.

Sementara bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Jabatan Bendahari universiti itu dengan membuat dua resit palsu berkaitan pembelian peralatan geologi.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Geologi, Fakulti Sains sebuah universiti awam di sini antara 29 Mei 2018 hingga 23 Ogos 2019.

Bagi kesemua pertuduhan utama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi sembilan lagi pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen resit rasmi untuk bayaran sewaan kenderaan trak pikap dan membeli peralatan sama yang mana tertuduh mempunyai sebab bahawa ia adalah palsu membabitkan jumlah sama.

Bagi kesemua pertuduhan pilihan itu, tertuduh  didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Abd. Muntaqim Abdul Aziz menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM, pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan mempunyai seorang anak.

“Tertuduh memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan dan masih lagi berkhidmat sebagai pensyarah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tarikh 18 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI