fbpx

3 maut akibat taun di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK mandi di belakang trak pikap di kem pelarian perkampungan Kili, wilayah Idlib pada 31 Julai lalu. – AFP

DAMASCUS, Syria – Pentadbiran Kurdish di utara dan timur Syria menyatakan bahawa tiga orang maut akibat kolera atau taun, sekali gus merayu bantuan luar bagi menghentikan wabak itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Pegawai kesihatan mengeluarkan amaran mengenai sebilangan besar kes taun di wilayah Raqa dan kawasan luar bandar barat wilayah Deir Ezzor.

Cirit-birit dan muntah adalah gejala biasa taun yang boleh disebarkan melalui air atau makanan yang tercemar. Ia boleh merebak di kawasan perumahan tanpa sistem kumbahan yang mencukupi atau bekalan air utama.

Justeru, pentadbiran Kurdish meminta bantuan daripada organisasi asing terutamanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghentikan penularan wabak tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Kementerian Kesihatan Syria turut mendedahkan sebanyak 15 kes taun di wilayah Aleppo yang sebahagian besarnya di bawah kawalan kerajaan.

Mereka yang terjejas kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital, kata kenyataan tersebut.

Penyakit itu merebak ke barat Deir Ezzor selepas pegawai tempatan berhenti menambah klorin di stesen pam air, demikian menurut organisasi bukan berasaskan keuntungan, Syrian Observatory for Human Rights.

Kumpulan pemantau Britain yang mempunyai rangkaian sumber yang besar di Syria itu melaporkan bahawa ratusan penduduk tempatan mengalami sakit kepala, cirit-birit dan muntah.

Bekalan air dan kemudahan kumbahan Syria musnah akibat konflik sivil yang berlarutan selama lebih sepuluh tahun.

Menurut Tabung Kanak-kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira 50 peratus daripada penduduk Syria bergantung pada sumber air alternatif yang kerap berbahaya dan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada kumbahan tidak dirawat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI