fbpx

‘Jiwa belum kuat, terbayang arwah pulang’ – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hizanawati (kiri) diziarahi Jahaya (tengah) di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Kuala Selangor hari ini. 

KUALA SELANGOR – “Suara arwah memberi salam ketika pulang ke rumah masih tergiang di telinga saya.”

Demikian rintihan pilu ibu kepada Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang maut dalam kebakaran di tandas terbiar di Puncak Alam Fasa 3 di sini, 28 Ogos lalu.

Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata dia setakat ini belum mempunyai kekuatan dan semangat untuk menjalani rutin kehidupannya walaupun telah dua minggu berlakunya tragedi itu.

Kata pemandu e-hailing itu, dia tidak bersedia kembali bekerja kerana masih terbayangkan tragedi menimpa arwah yang sukar dilupakan.

“Kehilangan Muhammad Damin amat dirasai terutama ketika kami sekeluarga bersembang dan makan bersama pada waktu petang.

“Selain suaranya, saya merindui kelibat arwah di rumah dan akan menitiskan air mata apabila mengenangkan memori bersamanya,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Bandar Puncak Alam Fasa 3, hari ini.

Terdahulu, ibu tunggal itu disantuni Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang menyerahkan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan bebannya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan keluarga pelajar tingkatan empat itu mahu dua pelaku yang terlibat menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka sekiranya didapati bersalah.

Kejadian menyayat hati itu berlaku pukul 2.38 petang apabila Muhammad Damin Mikhail ditemui dengan kesan melecur di dalam tandas berkenaan.

Jelasny, siasatan masih dijalankan dan keluarganya menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi tindakan lanjut.

Tambah Hizanawati, pemulih semangatnya kini adalah anak-anak selain rakannya yang masih tidak putus menziarahinya.

“Tidak dinafikan ada segelintir pihak melontarkan komen negatif mengenai arwah sebelum ini.

“Namun, saya hanya mengabaikannya dan ramai memberi kata-kata semangat supaya bersabar meneruskan kehidupan,” kata ibu kepada enam anak itu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI