BALING – Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI) terus mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat segala masalah di Gunung Inas sehingga menyebabkan berlaku aliran puing dan banjir lumpur di kawasan perkampungan di Kupang dekat sini secara lebih telus.
Pengerusinya, Dr. Mohd. Syuhaimi Zakaria berkata, RCI itu perlu memandangkan sudah tiga kali kejadian banjir lumpur melanda Kampung Iboi dan kawasan berhampiran.
“Kali pertama berlaku tragedi banjir puing pada 4 Julai lalu diikuti banjir lumpur pada 28 Julai seterusnya pada kelmarin (6 September) berlaku lagi banjir puing.
“Kejadian kelmarin juga teruk apabila ramai penduduk terjejas dan jambatan Bailey turut berganjak dari kedudukan asal menunjukkan betapa kuatnya arus deras semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, kerajaan tidak boleh lagi menjadikan alasan cuaca atau hujan sebagai punca kejadian semata-mata kerana penduduk sudah tiga kali berhadapan dengan bencana itu.
Kata beliau, kerajaan perlu lihat apa yang perlu dibuat atau dibaik pulih di atas Gunung Inas itu serta mengenal pasti apa sebenarnya punca kejadian seterusnya menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
“Kita setuju banyak bantuan telah disalurkan kepada penduduk tetapi sebahagian besar sumbangan diberikan telah musnah dalam kejadian kelmarin. Sampai bila nak bagi bantuan sedangkan masalah di atas sana belum selesai.
“Jadi, apa yang lebih penting adalah selesaikan dahulu masalah yang berlaku di Gunung Inas terutama di kawasan runtuhan cerun, tapak pembalakan dan perladangan di situ selain menanam tanaman tutup bumi. Pakar-pakarlah kena naik dan lihat apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Menurutnya, PKAI mewakili penduduk lebih yakin dengan siasatan RCI dalam mengenal pasti apa punca sebenar kejadian aliran puing dan banjir lumpur di situ.
“PKAI juga mahu tanaman musang king digantikan dengan spesies pokok balak dibenarkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, kembalikan status Hutan Simpan Kekal di kawasan ladang musang king serta menghentikan segala pembangunan hutan di kawasan cerun lebih 25 darjah,” jelasnya.














