BALING – “Kami sudah penat nak cuci rumah, tanggung rugi disebabkan banyak barang rosak. Sumbangan yang diberikan sebelum ini juga turut musnah.”
Demikian luahan penduduk di Kupang yang terjejas teruk akibat kejadian kepala air dan banjir lumpur pada Selasa lalu.
Menurut Zubaidah Che Leh, 50, dia sudah letih kerana terpaksa berulang kali mencuci rumah dan barangan yang dipenuhi lumpur tebal.
“Sudah tiga kali kepala air dan banjir lumpur melanda kawasan rumah di sini, sampai bila perlu kami cuci rumah.
“Barang rosak itu memang banyak, penat pun tidak habis lagi datang pula kepala air dan banjir kelmarin,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Empang, Kupang di sini semalam.
Malah, katanya, kejadian banjir kali ketiga itu berlaku ketika dia sedang mengemas barangan rumah yang masih berada di luar rumah setelah berlaku banjir pada 4 Julai dan 28 Julai lalu.
“Barang-barang yang kotor kena banjir sebelum ini masih banyak tidak dicuci dan yang sudah dicuci, perlu dibersihkan semula.
“Semua barangan baharu yang dibeli dan hasil sumbangan pemimpin dan orang ramai juga kotor,” ujarnya.
Katanya lagi, dia dan suaminya, Ibrahim Mohd Rashid, 54, sempat memindahkan barangan seperti bantal, tilam dan pakaian ke tempat tinggi bagi mengelakkan terkena air banjir.














