fbpx

MB Kedah terang-terangan sokong Terengganu FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANUSI (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukma 2022 di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar, semalam.

TANPA berselindung, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini menyatakan sokongan kepada Terengganu FC (TFC) bagi menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA 2022 malam esok.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, antara sebab beliau berbuat demikian adalah kerana isterinya berasal dari Terengganu.

Selain itu katanya, beliau juga percaya bahawa rakyat Malaysia akan menyokong TFC dalam perlawanan akhir itu nanti.

“Saya sokong Terengganu sebab isteri saya berasal dari situ. Setakat ini saya belum berkahwin dengan orang Johor dan orang biasa macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat sebagai ‘underdog’.

“Rasanya semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi ke Terengganu FC dan kalau tak percaya, kita tunggu. Orang Johor sahaja sokong Johor dan negeri lain, semua Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar, semalam.

Sebelum ini tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Muhammad Sanusi menyarung jersi Terengganu FC.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai cakap-cakap dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai sokongan Muhammad Sanusi terhadap Terengganu FC.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau akan menerima ketentuan sekiranya Terengganu FC tewas kepada JDT nanti.

“Saya akan terima dengan berlapang dada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI