fbpx

Dua bot nelayan ditahan tangkap ikan kurang 8 batu nautika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga kru bot yang ditahan APMM pada Isnin lalu di Tanjung Lomba-Lomba, Lumut kerana menangkap ikan kurang lapan batu nautika.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak menahan dua buah bot nelayan tempatan kelas B pada kedudukan 5.3 dan 5.2 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba di sini sekitar pukul 7.15 pagi pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot APMM yang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Sembilan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan, seorang kru warga Indonesia dan seorang kru warga Myanmar berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun.

“Mereka sedang menangkap ikan kurang daripada 8 batu nautika. Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hambali, hasil pemeriksaan bagi tangkapan bot kedua pula mendapati, ia dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun.

Katanya, mereka juga melakukan kesalahan yang sama iaitu menangkap ikan kurang daripada 8 batu serta kru warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru, bot serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Hambali berkata, APMM Perak telah berjaya menahan sebuah bot pukat tunda kelas B pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar pukul 10.30 pagi pada 2 September lalu.

“Bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI