fbpx

Suspek gagal samun kedai emas, polis rampas 2 pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMI (tengah) menunjukkan dua pistol yang berjaya dirampas polis daripada dua suspek pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini. /FOTO WAN REDZA

KUALA LUMPUR – Polis merampas dua pucuk pistol dan sejumlah peluru hidup ketika memberkas dua lelaki yang disyaki dalam cubaan untuk melakukan samun terhadap sebuah kedai emas di Jalan 7/62A Bandar Manjalara, Kepong, di sini pada 4 September lalu.

Kedua-dua lelaki itu diberkas oleh empat anggota dari Balai Polis Kepong yang sedang membuat rondaan bagi mengesan kejadian pecah cermin kenderaan di kawasan terbabit pada pukul 8.54 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semasa melakukan rondaan, pihak polis mendapati dua lelaki tempatan berusia 42 dan 43 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah kereta Proton Wira di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui dua pucuk pistol masing-masing pistol jenis semi auto dan pistol revolver Diamond Special Gold Horse beserta beberapa butir peluru hidup.

“Lapan butir peluru turut dijumpai dalam poket seluar salah seorang suspek, manakala 10 butir peluru lagi ditemui dalam gengaman tangan seorang lagi suspek.

“Kedua-dua suspek itu disyaki dalam perancangan untuk merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran, namun gagal apabila berjaya dipatahkan pihak polis,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, pihak polis membuat satu serbuan pada pukul 1.15 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Klang Lama dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai dalang utama melakukan rompakan kedai emas bagi kumpulan itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai wang tunai berjumlah RM129,300 dan 39 paket barang kemas yang dianggarkan bernilai RM175,000,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil semakan mendapati dalang utama itu mempunyai lima rekod jenayah dengan tiga daripadanya membabitkan kesalahan dibawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Seorang daripada dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara pula mempunyai satu rekod jenayah, manakala seorang lagi tiada rekod jenayah dengan kedua-duanya didapati negatif dadah,” ujarnya.

Katanya, dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara akan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 September ini, manakala dalang utama turut direman tujuh hari.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengenalpasti pembabitan kes jenayah dilakukan ketiga-tiga suspek berkenaan serta dari mana mereka memperoleh senjata api itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI