fbpx
AKRAM (tengah) giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan menjelang aksi menentang ATK Mohun Bagan pada separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata esok.

KL City enggan sekadar bergelar raja ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Peribahasa itu tepat menggambarkan keinginan pemain tengah KL City FC, Muhammad Akram Mahinan yang mahu pa­sukannya mencipta sejarah mara ke final Piala AFC Antara Zon musim ini.

Bagi merealisasikan impian itu, The City Boys perlu menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan pada aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata esok.

Sehubungan itu, Akram, 29, berharap rakan sepasukannya sudah bersedia 100 peratus dari segi mental dan fizikal selain segera menyesuaikan diri beraksi di laman keramat pasukan lawan.

“Kami tak nak king (raja) di ASEAN sahaja. Alang-alang dah penat sampai ke India, biarlah terus ke peringkat seterusnya kerana kami pergi bukan untuk lengkapkan jadual.

“Memang aksi di tempat lawan ada cabaran sendiri lagi-lagi di luar negara. Faktor cuaca, suasana, makanan dan tempat tinggal boleh beri tekanan, jadi kami perlu cepat sesuaikan diri.

“Kami kena tetapkan mental untuk menang. Memang ia sukar tetapi kami yakin boleh membuat sejarah lagi untuk KL City,” kata Akram yang berlepas bersama skuad KL City ke bumi India kelmarin.

Akram juga enggan menjadikan kekurangan tempoh masa untuk melakukan persediaan di bumi India sebagai halangan buat mereka lakukan yang terbaik menentang ATK Mohun Bagan.

Bagaimanapun, keputusan seri 2-2 menentang pasukan tangga kedua, Sabah FC di ­Stadium Likas pada Khamis lalu, boleh dianggap sebagai persediaan terbaik buat skuad bimbingan Bojan Hodak itu.

POPULAR