fbpx

Kesihatan mental penduduk Gaza ‘tenat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK terkejut ketika mendengar bunyi serangan udara di Bandar Gaza pada 6 Ogos lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Satu pertiga daripada penduduk Semenanjung Gaza mengalami masalah kesihatan mental yang amat memerlukan bantuan dan sokongan ekoran konflik berterusan akibat kekejaman rejim Zionis, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan terdapat peningkatan bagi tahap masalah mental populasi wilayah tersebut terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, dengan kebanyakannya memerlukan bantuan kesihatan mental serta psikososial.

Dalam tiga hari yang penuh keganasan pada awal Ogos lalu sehingga gencatan senjata dicapai pada 7 Ogos, tentera Israel melancarkan 147 serangan udara yang menyasarkan Semenanjung Gaza. Dalam masa sama, pejuang Hamas melancarkan kira-kira 1,100 roket mortal sebagai serangan balas ke atas Israel.

Ketika satu sesi taklimat pada 8 Ogos lalu, Penyelaras Khas bagi Proses Kedamaian Asia Barat, Tor Wennesland berkata, seramai 46 rakyat Palestin telah terbunuh manakala 360 cedera dalam siri keganasan Zionis tersebut.

Pengarah Serantau bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Tabung Kanak-kanak oleh PBB (UNICEF), Adele Khodr berkata, 17 kanak-kanak Palestin adalah antara yang terkorban dalam serangan Ogos lalu, dan konflik itu meragut nyawa lebih ramai golongan muda di Semenanjung Gaza.

“Bagi kebanyakan golongan muda, ini merupakan konflik kelima mereka dalam tempoh 15 tahun lalu. Ramai antara mereka yang telah sekian lama hidup dengan kesan psikologi jangka panjang akibat pendedahan berterusan terhadap keganasan,” ujar Adele.

Sementara itu, Ketua Program Kesihatan Agensi Bantuan PBB (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat, Dr. Ghada Al Jadba berkata, penduduk Gaza hidup dalam perasaan kecewa dan keadaan psikologi yang semakin merosot akibat situasi ekonomi, sosial dan politik.

“Konflik pada Mei 2021 (di mana sebahagian besar Bandar Gaza musnah serta beratus-ratus orang terbunuh atau cedera) telah menyebabkan kejutan psikologi dalam kalangan penduduk yang dalam masa sama bergelut dengan masalah bekalan elektrik dan air terputus, kadar kemiskinan yang tinggi dan pengangguran.

“Semua faktor ini memburukkan lagi kesihatan mental penduduk yang telah pun mengalami kesengsaraan,” ujarnya.

Menurut laporan Program Kesihatan Mental Gaza, lebih 65 peratus populasi di Gaza kini berada di bawah garis kemiskinan dengan lebih 60 peratus lagi menganggur.

Dalam pada itu, Ketua Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit UNRWA, Dr. Yousef Shahin berkata, pihaknya melaksanakan program sokongan psikologi bagi merawat lebih 87,000 kes yang memerlukan bantuan.

“Selepas mengkaji kes-kes yang ada, kami mendapati bahawa sokongan psikologi amat diperlukan oleh penduduk, justeru, kami memberikan rawatan kepada mereka. 

“Antara simptom yang dialami termasuk tekanan, epilepsi serta beberapa kes berkaitan penyakit-penyakit kronik yang berpunca daripada masalah psikologi,” katanya.

Lebih dua juta penduduk tinggal di Semenanjung Gaza, namun hanya sebuah hospital kesihatan mental tersedia yang mempunyai kapasiti sebanyak 50 katil. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI