fbpx

Cikgu Debbie bantu pelajar kuasai Matematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEBBIE menghasilkan video-video tentang penyelesaian sesuatu masalah Matematik bagi memudahkan pelajar untuk memahaminya

BAGI mereka yang sering melayari laman sosial seperti Instagram ataupun Tik Tok, pasti pernah melihat video tentang penyelesaian mudah subjek Matematik diajar oleh pemilik akaun Cikgu Debbie.

Penerangan yang diberikan olehnya itu sangat jelas dengan memberi gambaran ia adalah satu subjek yang menyeronokkan untuk dipelajari terutama bagi pelajar sekolah.

Justeru, tidak hairanlah akaun Tik Tok Cikgu Debbie memiliki lebih 500,000 pengikut dan video-video penyelesaian Matematik yang dihasilkannya sering mendapat tontonan tinggi.

Berbicara tentang konsep pengajaran Matematik di media sosial, Cikgu Debbie atau nama sebenarnya Debbie Soh Kim Lian, 36, berkata, dia menghasilkan kandungan sedemikian untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai, terutamanya pelajar yang berhadapan kesukaran untuk menguasai subjek tersebut.

Menurutnya, sekurang-kurangnya apa yang dia lakukan itu memberi manfaat dan dapat menarik minat pelajar untuk menyukai mata pelajaran itu.

“Sebelum ini, saya mengusahakan pusat tuisyen, tetapi pandemik Covid-19 telah membuka peluang kepada saya untuk menerokai pengajaran tuisyen secara digital termasuk penggunaan media sosial.

“Jadi, sesi pengajaran dari bentuk fizikal ditukar kepada online pada ketika itu,” katanya.

DEBBIE menyatakan dia gembira dapat membantu pelajar menguasai ilmu Matematik.

Cikgu Debbie turut menghasilkan video-video tentang penyelesaian sesuatu masalah Matematik bagi memudahkan pelajar memahaminya dengan lebih jelas.

Selain golongan pelajar, orang dewasa juga mendapat manfaat dan berasa seronok menonton video-video yang dihasilkan itu.

Sejak itu, Cikgu Debbie berkata, ramai pelajar menunjukkan minat untuk belajar Matematik dengannya secara online.

“Sebelum ini, jika kelas tuisyen secara fizikal, saya hanya boleh mengajar bilangan pelajar yang kecil dan terhad di Shah Alam, Selangor.

“Tetapi kini dengan mengajar secara online, saya dapat mengajar lebih ramai pelajar dari seluruh Malaysia,” ujarnya.

Apa yang lebih menarik, ujarnya, ada dalam kalangan ibu bapa yang melihat video penyelesaian Matematik yang dibuatnya di media sosial dan akhirnya memilih untuk menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti kelas tuisyen dengannya.

Sejak pandemik Covid-19, Cikgu Debbie mempunyai lebih 1,000 pelajar yang mengikuti tuisyen secara dalam talian.

Dalam pada itu, Debbie menyatakan, dia gembira dapat membantu para pelajar menguasai ilmu berkaitan Matematik.

Malah, katanya, dia berasa amat bersyukur kerana maklum balas yang diterima daripada pelajar-pelajar juga amat baik sekali.

Ada pelajarnya yang menunjukkan peningkatan ketara dari gagal kepada lulus dan ada juga yang mendapat A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan hanya menonton video-video Matematik di Tik Tok Cikgu Debbie.

“Ada pelajar yang pada mulanya tidak suka dengan subjek ini, tetapi selepas mendapat tip daripada saya bagi mudah menguasainya, mereka terus menyukainya.

“Mempelajari Matematik sebenarnya mudah jika seseorang itu menguasai asas dan konsepnya,” katanya.

Sementara itu, Cikgu Debbie menjelaskan, dia mula mengajar Matematik sejak berumur 19 tahun setelah menjadi guru ganti di sebuah sekolah.

Pada ketika itu katanya, ada permintaan daripada pelajarnya yang ingin mendapatkan tuisyen daripadanya.

DEBBIE menjelaskan, dia mula mengajar Matematik sejak berumur 19 tahun setelah menjadi guru ganti di sebuah sekolah.

 

“Dari situlah mula tertubuhnya pusat tuisyen milik saya dan ia terus beroperasi sehingga kini,” ujarnya.

Bagi membolehkan ibu bapa terus mendaftar anak-anak mereka bagi mengikuti kelas tuisyen dengannya, Cikgu Debbie memberitahu, dia kini sedang membangunkan laman web khas untuk tujuan tersebut.

Katanya, melalui lawan web itu, pelajar yang tidak mengikuti kelas tuisyen dengannya boleh membeli dan mendapatkan video-video rakaman secara langsung sesi pengajaran bersama pelajar lain.

Melalui kaedah tersebut, ia akan membolehkan lebih ramai orang mempelajari subjek Matematik dengan mudah, terutamanya bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan besar seperti SPM.

Ini kerana, Cikgu Debbie juga akan berkongsi menjawab soalan-soalan Matematik yang mirip dengan soalan peperiksaan sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI