fbpx

Pengetua SMK Senaling mahu saman pemfitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAIN rentang yang dipasang di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sehingga tular dalam media sosial sejak kelmarin.

KUALA PILAH – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling di sini yang tular dalam media sosial sejak kelmarin menyifatkan dakwaan bahawa beliau menyebabkan guru-guru di sekolah berkenaan tertekan sebagai fitnah.

Normah Mohd. Nor berkata, sebagai seorang ketua, beliau menggalas amanah yang diberikan dengan sepenuh hati selepas lapan bulan ketiadaan pengetua di sekolah itu sebelum ini.

“Seperti kelaziman, saya membuat penstrukturan semula yang mana saya percaya telah mengundang serangan ke atas diri dan juga Guru Penolong Kanan Pentadbiran.

“Saya terbuka untuk berbincang sebelum ini, tetapi tidak akan berkompromi dengan individu yang culas dan sambil lewa dalam bekerja termasuk tidak menunjukkan prestasi baik dalam perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Susulan kejadian itu, Normah melantik peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut kerana ia melibatkan maruah beliau dan imej sekolah.

Jelas Normah, tindakan undang-undang sama juga akan diambil ke atas individu dan page Facebook yang menularkan perkara tersebut menerusi platform media sosial.

“Saya memberi masa selama 48 jam kepada pihak terbabit yang melakukan serangan dan fitnah ini supaya tampil berjumpa dengan saya untuk memohon maaf.

“Walaupun sebagai seorang pentadbir, namun saya juga seorang manusia yang bertimbang rasa,” katanya.

Tambah Normah, tekanan yang dibuat terhadapnya itu tidak akan membuatkan beliau berganjak daripada mencari kebenaran dan menyatakan hak selain tidak mengganggu fokus untuk mengembalikan kecemerlangan SMK Senaling.

Sejak kelmarin, tular dalam media sosial berhubung kain rentang di sebuah sekolah di Kuala Pilah yang menyatakan luahan hati individu dipercayai guru yang memohon Kemente­rian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri menukar penge­tua sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superinten­dan Amran Mohd. Ghani mengesahkan menerima laporan dari pihak sekolah kelmarin.

“Pihak sekolah sudah menurunkan kain rentang dan laporan polis yang dibuat diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah. Isu ini merupakan isu dalaman sekolah dan diserahkan kepada PPD untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI