fbpx

Pelaburan emas serendah RM10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khong SOON (kanan) dan Mazni (dua dari kanan) menunjukkan jongkong emas yang ditawarkan Quantum Metal.

GEORGE TOWN – Syarikat pelaburan emas patuh syariah, Quantum Metal Sdn. Bhd. (Quantum Metal) komited membantu seramai mungkin rakyat Malaysia untuk keluar daripada belenggu masalah kewangan di bawah solusi pemulihan ekonomi.

Dengan meletakkan syarat pelaburan minimum iaitu hanya serendah RM10, sesiapa sahaja termasuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta golongan berpendapatan rendah dan kategori B40 layak untuk melabur emas dalam syarikat berkenaan.

Pengasas Quantum Metal, Datuk Lim Khong Soon berkata, pihaknya mahu mendedahkan kepentingan atau nilai sebenar emas terhadap masyarakat yang bukan sekadar untuk di­simpan sebagai pelaburan, malah ia boleh ditunaikan serta digunakan bagi perbelanjaan harian.

“Sebab inilah kami wujudkan mesin ATM Gold (pengeluaran emas secara automatik) ini yang menyokong jumlah transaksi minimum satu dinar (4.25 gram) sehingga mencecah 30 kilogram emas daripada sistem syarikat bagi memudahkan para pelanggan.

“Ini mesin pertama berkonsepkan pengeluaran emas secara tunai dan selain di pejabat negeri Quantum Metal di Jalan Residensi, Pulau Pinang, kami turut memiliki satu lagi mesin yang sama di Kuala Lumpur.

“Syarikat juga bakal menempatkan satu lagi mesin serupa di Johor, dijangka pada ming­gu depan dan sebuah lagi di Sarawak, menjadikan jumlah mesin ATM Gold di negara ini sebanyak empat buah,” kata­nya kepada Kosmo! pada majlis demons­trasi penggunaan ATM Gold di sini, kelmarin.

KHONG SOON menunjukkan cara-cara menggunakan ATM Gold, yang boleh mengeluarkan emas sehingga 30kg.

Pada majlis tersebut, hampir 100 tetamu hadir termasuk peng­a­sas kumpulan Billionaire Warriors yang bernaung di bawah syarikat itu, iaitu Mazni Mohd. Tahir bersama barisan ahli kumpulan.

Billionaire Warriors merupakan penganjur utama bagi majlis tersebut dengan penglibatan konsultan Quantum Metal dari seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, beritahu Khong Soon, di peringkat antarabangsa pula, Quantum Metal kini telah bertapak di hampir 15 buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurutnya, pencapaian itu sekali gus menunjukkan bahawa syarikat terbabit kini berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi sasarannya untuk melebarkan sayap ke 60 buah negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sebenarnya, ada lagi negara yang masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan mereka di sana untuk mendapatkan permit perniagaan sebelum bekerjasama dengan kami.

“Bagaimanapun di Malaysia, kami bertuah kerana tidak perlu memenuhi syarat serupa. Apa yang penting syarikat perlu mematuhi garis panduan syariah seperti yang ditetapkan sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khong Soon menjelaskan, Quantum Metal kini mempunyai sekitar 25,000 konsultan dan hampir 300,000 ahli berdaftar di seluruh negara.

“Sekarang pun boleh dikatakan dalam sehari, terdapat antara 2,000 hingga 3,000 ahli baharu yang berdaftar dengan kami,” tambahnya yang berpandangan jumlah tersebut merupakan satu pencapaian positif.

Mesin ATM Gold yang diletakkan di pejabat negeri Quantum Metal di Jalan Residensi, George Town.

Sementara itu, Mazni memberitahu, Pulau Pinang merupakan lokasi pertama siri jelajah kumpulan itu dalam usaha untuk mempromosikan pelaburan emas secara patuh syariah kepada orang ramai.

Katanya, jelajah tersebut akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

“Matlamat kami adalah untuk membantu seramai mungkin rakyat Malaysia keluar daripada ‘barah’ kewangan ini selain memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat me­ngenai Quantum Metal.

“Quantum Metal bukan skim cepat kaya tapi kalau buat betul-betul, melabur dengan cara yang betul, insya-Allah boleh jadi kaya.

“Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan ilmu yang tepat supaya masyarakat tidak salah anggap mengenai pelaburan emas ini,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI