fbpx

Kenaikan harga minyak adalah pilihan terakhir – Jokowi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jokowi mengakui kenaikan harga minyak terpaksa dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan belanjawan republik itu. - ANTARA

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan bahawa keputusan menaikkan harga minyak dan diesel adalah pilihan terakhir yang terpaksa dilakukan pemerintah, lapor laman berita Kompas kelmarin.

Menurut beliau, pemerintah telah berusaha sedaya upaya untuk melindungi rakyat daripada keadaan turun naik harga minyak mentah dunia dengan menggunakan subsidi daripada dana negara.

Bagaimanapun, penetapan harga lama minyak serta petrol telah menyebabkan peningkatan dalam subsidi bahan api dan belanjawan pampasan.

Pada tahun 2022 sahaja, Jokowi berkata, bajet negara telah meningkat tiga kali ganda daripada 152.5 trilion rupiah (RM45.8 bilion) kepada 502.4 trilion rupiah (RM150 bilion). 

Angka itu diramal terus meningkat sekiranya tiada kenaikan harga dilaksanakan.

Tambah Jokowi, 70 peratus daripada subsidi bahan api itu sebenarnya dinikmati oleh golongan mewah yang mempunyai kereta persendirian sedangkan wang negara perlu diutamakan untuk memberi subsidi kepada golongan miskin.

“Kini, pemerintah perlu membuat keputusan dalam keadaan sukar.

“Ini adalah pilihan terakhir kita iaitu mengalihkan subsidi bahan api supaya harga beberapa jenis bahan api yang telah diberi subsidi setakat ini diselaraskan,” katanya. 

Harga baharu petrol di Indonesia berkuatkuasa bermula petang Sabtu sejurus selepas pengumuman rasmi Jokowi mengenai isu tersebut.

Harga minyak Pertalite meningkat daripada 7,650 rupiah (RM2.30) kepada 10,000 rupiah (RM3) per liter. 

Harga diesel pula melonjak daripada 5,150 rupiah (RM1.55) menjadi 6,800 rupiah (RM2.04). 

Harga minyak Pertamax pula berubah dari 12,500 rupiah  (3.76) kepada 14,500 rupiah (RM4.36) per liter. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI