fbpx
Rina ketika melancarkan Kempen Banteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya tadi

Video lucah: Panggil, siasat jika ada laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia memanggil seorang artis remaja yang mendakwa kononnya diajak bapa untuk menonton video lucah bersama jika ada laporan dibuat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru tahu perkara itu menerusi laporan media.

“Jika betul ada, kita akan panggil dia dan bapanya untuk disiasat serta tidak teragak-agak ambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan artis remaja itu berkenaan ayahnya dalam satu bual bicara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, orang ramai boleh membantu kementerian itu dengan tampil membuat aduan termasuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya difahamkan bahawa artis cilik ini hanya dedah pengakuan itu melalui laman sosial Twitter sebelum tular apabila diulang ciap ramai netizen terutama peminatnya.

“Jika keadaan tersebut betul, ia amat menyedihkan kerana ibu bapa terbabit sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada anak mereka sendiri,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau mengakui kanak-kanak perempuan paling ramai menjadi mangsa penderaan seksual berdasarkan statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini.

“Sebanyak 67 peratus daripada 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan dari awal Januari sehingga Jun lepas adalah golongan perempuan.

“Perangkaan polis pula untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan sebanyak 1,348 kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dicatatkan di seluruh negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR