fbpx

Juara dunia sudah, Olimpik bila lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron-Wooi Yik muncul juara Kejohanan Badminton Dunia
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

TEMPOH 45 tahun penantian untuk menyaksikan atlet badminton kebangsaan menjuarai kejuaraan berprestij, Kejohanan Badminton Dunia boleh dianggap tempoh yang cukup lama.

Pelbagai ‘badi’ yang telah dihadapi sepanjang tempoh tersebut selepas sering kali percubaan atlet kebangsaan digagalkan di pentas akhir sehingga terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara.

Sebagai rekod, bagi kategori beregu lelaki skuad negara pernah meraih pingat perak menerusi gandingan Datuk Jalani Sidek-Datuk Seri Razif Sidek pada edisi (1987), Datuk Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997), Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong (2010).

Menerusi acara perseora­ngan, Malaysia turut tidak berjaya menamatkan kemarau selepas Wong Choon Han meraih naib juara pada edisi 2003, dan Datuk Lee Chong Wei sebanyak tiga kali (2011, 2013 dan 2015).

Namun, penantian penuh keperitan itu akhirnya berakhir selepas beregu sensasi negara, A­aron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah memenangi Kejohanan Badminton Dunia edisi 2022 di Tokyo, Jepun, Ahad lepas.

Aaron-Wooi Yik mengharungi tempoh 42 minit yang cukup mendebarkan sebelum dapat me­newaskan pasangan veteran Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dengan keputusan straight set 21-19, 21-14.

Kejayaan kedua-dua pemain muda negara ini adalah yang pertama di pentas antarabangsa dalam tempoh tiga tahun selepas meraih pingat emas temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bagaimanapun, pencapaian terbaik pasangan yang menduduki ranking No. 6 dunia sudah tentulah ketika mencipta kejutan meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun lalu.

Apa yang pasti, kemenangan yang dilakar Aaron-Wooi Yik bo­leh dijadikan sebagai titik tolak buat ramai lagi atlet badminton kebangsaan untuk bergelar juara dunia pada masa akan datang.

Pandangan tersebut dipersetujui oleh penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang optimis tumpuan ketika ini sudah tentulah bagi menamatkan pula kemarau kejuaraan dunia bagi acara perseorangan.

“Apa yang dipamerkan oleh Aaron-Wooi Yik dengan menamatkan kemarau 45 tahun negara untuk bergelar juara dunia adalah sesuatu yang cukup luar biasa dan boleh dibanggakan.

“Ini kerana skuad badminton negara sering ditimpa badi setiap kali mengharungi Kejohanan Badminton Dunia apabila tewas di pe­ringkat separuh akhir atau final.

“Justeru, saya harap kejayaan ini boleh dijadikan pemangkin semangat atau titik tolak buat ramai lagi pemain khususnya bagi acara perseorangan untuk bergelar jua­ra dunia pada masa akan datang.

“Mengenai peluang saya rasa ia bukanlah satu isu kerana berbanding sukan lain, Kejohanan Badminton Dunia ini dilakukan secara tahunan dan peluang itu sentiasa terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam masa yang sama, Pekan mahu pasangan Aaron-Wooi Yik tidak terbuai dengan mimpi indah selain meletakkan sasaran untuk menjuarai pingat emas temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis nanti.

“Bagi Aaron-Wooi Yik, saya harap kejayaan ini tidak akan membuatkan mereka mendabik dada sebaliknya berusaha untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi seperti membantu negara meraih pingat emas Sukan O­limpik edisi seterusnya.

“Mereka berjaya mencipta kejutan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik edisi lepas, sudah tentu kejayaan ini boleh menyuntik motivasi untuk memberikan prestasi lebih baik di atas gelanggang nanti.

“Jika dilihat, beberapa atlet dunia seperti Chen Long telah meraih pingat gangsa pada edisi 2012 tetapi mendakap pingat emas pada edisi 2016 dan situa­si sama berlaku buat Victor Axel­sen (pingat gangsa 2016, pingat emas 2020),” katanya.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada Aaron-Wooi Yik kerana berjaya menamatkan penantian dan sudah pasti ini adalah ha­diah kemerdekaan terbaik buat rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI