fbpx
SERENA masih mampu menampilkan aksi cemerlang pada usia 40 tahun apabila menewaskan Kovinic untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS semalam. – AFP

Serena Williams masih hebat pada usia 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK – Bekas pemain No.1 Dunia, Serena Williams yang dijangka membuat kemunculan terakhir pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam menepati ramalan apabila bergaya untuk melangkah ke pusingan kedua.

Pemenang 23 gelaran Grand Slam tersebut yang memberi isyarat akan bersara daripada sukan tenis tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Danka Kovinic dari Montenegro dengan keputusan 6-3, 6-3.

Pemain berusia 40 tahun itu hanya memerlukan satu jam 42 minit untuk melakar kemenangan di hadapan lebih 23,000 peminat di gelanggang Stadium Arthur Ashe.

“Saya rasa sangat selesa ketika turun beraksi di atas gelanggang ini terutama di hadapan semua penonton yang hadir menyaksikan perlawanan hari ini. Mereka membantu saya melepasi cabaran ini.

“Sudah pasti membuat keputusan untuk bersara daripada tenis amat sukar kerana anda lama dalam sukan ini. Saya rasa sekarang adalah masanya. Saya mempunyai keluarga. Ada babak lain dalam kehidupan. Saya memanggilnya evolusi,” kata Se­rena yang kini memburu gelaran Grand Slam ke-24.

Sebagai rekod, Serena memulakan langkah profesionalnya pada Oktober 1995, namun ketika ini dia bergelut untuk mendapatkan aksi terbaiknya semula apabila hanya memenangi satu perlawanan dalam jelajah tahun ini dan kini menghuni ranking ke-605 dunia.

Bagaimanapun, Serena sehingga kini kekal menjadi satu-satunya bintang tenis yang masih aktif dengan rekod pencapaian 23 gelaran Grand Slam.

Kini, jaguh tenis Amerika Syarikat itu masih kurang satu kejuaraan untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court dalam kejuaraan Grand Slam. – AGENSI

POPULAR