fbpx
GENERASI muda negara perlu menghayati makna kemerdekaan dengan memberikan sumbangan tenaga dan idea demi melihat Malaysia lebih berdaya maju. – GAMBAR HIASAN

Fahami jiwa merdeka anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MERDEKAKAH kita jika masih begini, Merdekakah kita?”

Itu merupakan lirik sebuah lagu bertajuk, Merdekakah Kita.

Bait bait lirik lagu ini banyak membuat kita berfikir semula tentang pengertian kemerdekaan pada hari ini dan masa hadapan generasi Malaysia.

Adakah kita kini merdeka?

Merdeka daripada belenggu pemikiran?

Mungkin semua orang boleh menjawab jawapan ini kerana ia telah di uar-uarkan semua pihak sejak dari bangku tadika sehingga ke institusi pendidikan tinggi.

Melihat keadaan sekeliling, kita sudah merdeka, namun dalam realiti kehidupan seharian, majoriti daripada kita masih belum ‘berdikari’ sepenuhnya.

Semua orang tahu, Ogos merupakan bulan kemerdekaan.

Sebagai anak bangsa yang dibesarkan di ibu pertiwi ini, sudah seharusnya kita bersyukur dengan kemerdekaan negara tercinta disambut pada setiap 31 haribulan Ogos.

Pada tahun ini, negara kita meniti usia kemerdekaan makin matang jika di nilai dari segi pembangunan fizikalnya, tetapi masih sangat muda jika dinilai dengan kematangan peradabannya.

Adakah kita benar-benar merdeka dalam erti kata sebenarnya?

Memang benar kita telah merdeka jika menilai kemerdekaan dengan hanya mengukur mempunyai sebuah wilayah, kerajaan dan rakyat sendiri serta bebas.

Semasa zaman penjajah, kita memang menderita kerana ditindas secara fizikal.

Namun, pada ketika itu, nilai kebersamaan, gotong-royong dan sikap mengutamakan kepentingan kelompok daripada kepentingan peribadi masih sangat kuat dalam kalangan rakyat.

Kini, di era globalisasi berapa ramai yang menggunakan erti kemerdekaan secara salah.

Nilai-nilai yang kita nyatakan ini telah terhakis oleh pelbagai kepentingan peribadi dan secara agresif dari luar.

Sejarah penjajahan dengan gaya baharu telah lama memasuki bumi Malaysia tanpa kawalan dengan pengurusan kemajuan teknologi yang tidak diurus dengan baik.

Kini, kita dapat melihat masyarakat lebih suka menggunakan barangan dengan label luar negara.


MAHASISWA berkewajipan mengisi kemerdekaan dengan kesungguhan mendalami ilmu demi kemajuan negara pada masa depan. –GAMBAR HIASAN

Tempat-tempat makan dengan menu luar negara diserbu dan mendapat sambutan hangat siang dan malam.

Selain itu, tidak terhitung juga berapa ratus ribu individu yang saat ini bangga mempamer jenama berbau negara luar.

Siapakah yang bertanggungjawab dengan keadaan-keadaan seperti ini?

Kita semua sepakat, kita harus merdeka dalam semua aspek.
Merdeka dalam bertutur, pemikiran, secara ekonomi, terhadap suasana masyarakat yang mana kita berada dan yang paling utama ‘kemerdekaan nurani’.

Dalam era milenial ini, pengisian kemerdekaan amat penting dan mula berubah bagi semua kaum tanpa mengira lapisan masyarakat.

Perjuangan kemerdekaan tidak kalah pentingnya dengan perjuangan kemerdekaan untuk Malaysia wujud dengan acuan kita sendiri.

Bagi mahasiswa pula, mereka merupakan antara golongan warganegara yang berperanan dan berkewajipan mengisi kemerdekaan dengan kesungguhan mendalami ilmu.

Mahasiswa merupakan sebahagian pemuda dan pemudi bangsa yang merupakan penerus dan tunggak kemajuan negara.

Sebagai generasi akan datang, mahasiswa dituntut untuk bekerja keras dan mendalami ilmu pengajian bersungguh-sungguh demi meningkatkan kualiti mereka.

Generasi pelapis bangsa diperlukan untuk memajukan sesebuah peradaban bangsa itu sendiri.

Perjuangan mereka sebagai generasi muda tidaklah dizahirkan dengan mengangkat senjata dan melawan penjajah.

Sebaliknya, mereka berjuang melawan kejahilan, kemiskinan, kemalasan, dan penyerahan diri kepada budaya luar yang boleh membahayakan diri sendiri dan masyarakat.

Mahasiswa di era kemerdekaan seharusnya mempamerkan kualiti yang bertanggungjawab, tekun, pantang menyerah kalah, rajin, kreatif dan penyayang untuk kemajuan sesebuah negara.

Sebagai generasi muda yang lahir dalam era teknologi pula, sudah pasti kita sudah biasa dengan dunia internet tiada sempadan.

Tetapi perlu diingat, internet umpama pedang bermata dua.
Di satu pihak, ia boleh memberi kesan positif, tetapi sebaliknya ia boleh membawa bencana jika digunakan dengan cara yang salah.
Internet boleh menjadi platform untuk golongan dot.com ini menyalurkan menunjukkan rasa cinta kepada Malaysia.

Sebagai contoh, dengan tidak melakukan hantaran-hantaran kebencian atau menyebarkan berita palsu di internet yang memburukkan keadaan dalam negara.

Mereka seharusnya menyemak sumber berita terlebih dahulu sebelum menyiarkan ke akaun media sosial, atau tidak menyebarkan ucapan benci yang menyinggung semua lapisan masyarakat Malaysia dengan perkara sensitif.

Perkara terakhir dan terpenting adalah menjaga perpaduan dan keutuhan negara.

Ini kerana, masa depan Malaysia terletak di bahu kita semua.

Sebagai ahli kepada masyarakat, kita mesti menghormati setiap perbezaan yang wujud di negara ini.

Jangan biarkan perbezaan ini memecah belahkan kita, tetapi ia mesti dijadikan asas untuk masyarakat
Malaysia lebih kuat, kerana itulah yang menjadikan negara kita istimewa.
Salam kemerdekaan buat semua.
———————————————————————————————————————————
AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN