fbpx

Tebing runtuh menghantui penduduk Batang Benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang retak dan rosak kesan kejadian tebing runtuh yang berlaku di Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin, Seremban petang semalam.

SEREMBAN – Sebanyak enam buah kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin dekat sini rosak susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam.

Wakil penduduk , Anuar Ab. Latid, 68, berkata, kejadian tebing runtuh di bahagian belakang rumah penduduk itu berpunca daripada hujan lebat yang bermula sejak pukul 3.30 petang semalam.

“Kejadian ini kali pertama berlaku, berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak dua hari lalu. Selain itu, terdapat juga projek perumahan baharu yang sedang dibina ketika ini di bahagian belakang rumah penduduk.

“Projek perumahan itu turut melibatkan pembinaan longkang dan apabila hujan lebat telah menyebabkan bahagian berdekatan tebing telah runtuh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Anuar mendakwa, tiga tahun lalu, beberapa orang penduduk pernah menghantar surat aduan kepada pihak berwajib susulan berlakunya retakan di rumah penduduk.

“Bagaimanapun, tiada tindakan yang diambil pihak terbabit sehingga kejadian runtuhan ini berlaku,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI