fbpx

19 isu perlu perhatian lanjut kerajaan dalam buku Tommy Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi.

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan ke atas buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah mengenal pasti 19 isu penting di dalam naskah tersebut yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PPK yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung telah membentang dan menyerahkan Laporan Akhir PPK itu kepada beliau dalam satu mesyuarat hari ini.

“Laporan ini telah disediakan oleh Pasukan Petugas Khas dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga Ogos 2022 dan satu Laporan Interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu.

“Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC), dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, Laporan Akhir itu disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi
konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan, dan dalam hal ini sebanyak 19 sesi konsultasi telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Ia termasuklah pihak daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan serta individu dan PPK ini juga telah mengenal pasti 19 isu penting daripada buku tersebut yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

“Seterusnya, Laporan Akhir ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan,” ujar beliau.

Terdahulu, Wan Junaidi pada 8 Disember tahun lalu memaklumkan bahawa penubuhan satu PPK telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 bagi menyiasat dakwaan-dakwaan dalam buku hasil tulisan Tommy Thomas itu.

“Dakwaan-dakwaan ini termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI