SUATU ketika dahulu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlumba-lumba untuk meneruskan pengajian sama ada di kolej atau universiti.
Malah, mereka yang tidak mendapat tempat di kolej atau universiti akan meneruskan pengajian ke tingkatan enam di sekolah harian biasa.
Ini kerana, mereka percaya dengan pelajaran sahaja mampu mengubah nasib diri dan keluarga. Justeru, tidak hairanlah ramai pelajar lepasan SPM di luar bandar merantau ke bandar untuk menyambung pengajian.
Perubahan semasa menyebabkan minat pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian kian luntur. Kaji selidik dilakukan Jabatan Perangkaan pada 2019 mendapati, 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM enggan menyambung pelajaran.
Terdapat pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca utamanya termasuk tiada jaminan peluang pekerjaan, selain perlu mengeluarkan belanja besar.
Selain itu, ramai lepasan SPM ingin bekerja dalam ekonomi gig seperti perkhidmatan e-hailing yang diuar-uarkan menawarkan pendapatan lumayan. Tidak kurang juga yang ingin menjana pendapatan menerusi media sosial.
Bagi mengupas fenomena itu lebih mendalam, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan menemu bual, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Kaji selidik menunjukan ramai lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran kerana beberapa sebab termasuk selesa memperoleh gaji yang dikatakan agak lumayan bekerja dalam ekonomi gig seperti perkhidmatan e-hailing. Pada pandangan Datuk, apakah yang menyebabkan ia terjadi?
SYED HUSSAIN: Seseorang individu hendaklah diberikan kebebasan untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Bagaimanapun, disebabkan kebanyakan lepasan SPM masih dikategorikan sebagai awal dewasa dan merupakan belia harapan negara, sememangnya mereka ini harus dibimbing demi masa depan.
Ketika ini, mendapatkan ilmu atau melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti atau kolej tidak lagi untuk tujuan pencarian ilmu itu sendiri, sebaliknya disandarkan dengan pencarian kerja atau kerjaya yang dijanjikan dengan gaji lumayan atau perubahan gaya hidup.
Ramai lepasan SPM tidak lagi melihat ilmu itu penting dalam kehidupan, sebaliknya kepentingan kewangan lebih diutamakan.
Masih ramai lepasan SPM terutamanya dari kelompok B40 mahupun M40 berasakan untuk menyambung pelajaran sama ada di universiti awam ataupun di universiti swasta memerlukan perbelanjaan kewangan besar dan terpaksa membuat pinjaman pendidikan.
Disebabkan isu ini, mereka berasakan tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk membelanjakan sejumlah wang besar semata-mata untuk menyambung pelajaran.
Ada juga tidak dapat menyambung pelajaran disebabkan sememangnya ibu bapa mereka tidak mempunyai simpanan pendidikan langsung.
Ada yang tidak mahu mengikat diri mereka dengan masalah pinjaman yang memerlukan pembayaran balik.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga mempunyai pengaruh kuat terhadap remaja lepasan SPM. Trend remaja ketika ini suka bekerja dalam ekonomi gig.
Keadaan ekonomi semasa dan pasaran buruh sekarang juga sangat mempengaruhi apabila pengangguran dalam kalangan graduan turut menyumbang kepada isu ini.
Para lepasan SPM tidak mahu diri mereka terlibat dengan masalah pengangguran dialami graduan pada masa ini bila mereka menamatkan pengajian nanti.
Jika ini berterusan pada tahun-tahun mendatang, pada pendapat Datuk, apa yang akan berlaku kepada anak muda negara dalam pasaran kerja di masa depan?
Jika fenomena ini berterusan pada tahun-tahun mendatang, sememangnya negara kita akan mengalami kekurangan tenaga kerja mahir, para cendekiawan dan pekerja yang berintelek tinggi.
Ini akan menyebabkan negara berada dalam kerugian dan gagal untuk berjaya dalam segala bidang pada masa akan datang. Negara kita akan tergolong dalam negara-negara yang ekonominya kurang membangun.
Ada beranggapan, universiti atau pusat pengajian termasuk yang menyediakan kemahiran bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik. Adakah ini menyebabkan tenaga kerja profesional dan mahir dalam negara berkurangan di masa depan?
Sememangnya pihak universiti atau pusat pengajian tinggi tidak pernah menjanjikan kepada para pelajar yang mereka pasti akan mendapat pekerjaan sepadan dengan kelulusan mereka.
Semuanya bergantung kepada peluang pekerjaan diwujudkan atau sedia ada ketika itu, kemahiran graduan, ilmu dan pengalaman bekerja.
Menyediakan tenaga profesional dan mahir sememangnya objektif setiap universiti dan pusat pengajian tinggi dan juga pihak kerajaan.
Kemungkinan berlakunya kekurangan tenaga profesional atau mahir akan berlaku jika belia atau para remaja tidak mahu atau enggan mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran akan datang.

ANAK muda masa kini terutama lepasan SPM lebih suka bekerja dalam ekonomi gig seperti e-hailing kerana dikatakan dapat menjana pendapatan agak baik. –GAMBAR HIASAN
Pada pendapat Datuk, adakah pelabur akan terus berminat untuk datang ke negara ini selepas mendapati negara kekurangan tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri tertentu disebabkan perkara ini dan bagaimana untuk mengatasinya?
Ada kemungkinan. Tetapi perlu diingat, masih ada pelabur memerlukan tenaga kerja kurang mahir.
Cuma, apabila lebih banyak pelabur yang membuat pelaburan yang memerlukan tenaga kerja kurang mahir, rakyat kita akan mengalami kerugian dari segi pendapatan.
Gaji yang ditawarkan akan menjadi lebih rendah kerana pelaburan kini lebih tertumpu kepada bidang kerja kurang berkemahiran.
Pendapatan negara juga akan menyusut kerana kurangnya hasil daripada percukaian ke atas profesional tenaga mahir.
Ada pihak berkata, jika fenomena ini berterusan, anak muda negara akan terus menjadi kuli di negara sendiri kerana tidak mempunyai kemahiran. Apa pendapat Datuk dalam hal ini?
Segala kemungkinan ada dan boleh berlaku jika anak muda negara ini malas, culas, cuai dan tidak mempunyai komitmen membina masa depan mereka sendiri berdasarkan ilmu serta kemahiran.
Selain itu, ada juga yang terpengaruh untuk menjadi influencer media sosial yang mereka lihat mampu menjana pendapatan lumayan tanpa perlu sebarang sijil akademik atau kemahiran, selain disajikan dengan kemewahan beberapa usahawan kosmetik. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Platform media sosial juga mempengaruhi lepasan SPM.
Media sosial memikat para lepasan SPM untuk menceburinya dengan menjanjikan pendapatan lumayan, tetapi pada akhirnya mereka terlepas peluang untuk menimba ilmu dan membina kehidupan lebih stabil.
Ini adalah kerana, mereka hanya melihat luaran sahaja tanpa mengetahui kepayahan dan kesulitan dihadapi para usahawan kosmetik sebelum menempa kejayaan.
Para usahawan kosmetik seharusnya berkongsi pengalaman, segala usaha dan pengorbanan mereka untuk mencapai kejayaan.
Barulah para remaja lepasan SPM ini dapat memahami sesebuah kejayaan itu perlukan kesungguhan, komitmen dan usaha berterusan.
Apa peranan yang perlu dimainkan ibu bapa dan anggota masyarakat agar anak-anak muda lepasan SPM meneruskan pengajian agar mereka tidak menyesal di kemudian hari?
Ibu bapa hendaklah terus memberikan penekanan bahawa meneruskan pelajaran ke peringkat universiti dan kolej bukanlah semata-mata untuk tujuan pekerjaan.
Di samping itu, ibu bapa hendaklah berterusan menggalakkan anak-anak untuk terus menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.
Ia bukan sahaja untuk pekerjaan, tetapi sebagai persediaan menghadapi cabaran yang sememangnya berbeza pada masa depan.
Apa yang pihak MEF dan kerajaan boleh lakukan bagi menggalakkan mereka yang terlibat agar meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi bagi menjamin masa depan lebih baik?
MEF mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya memberikan penekanan bahawa menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan kolej bukanlah semata-mata untuk tujuan pekerjaan.
Sebaliknya, meneruskan pengajian di universiti adalah untuk meningkatkan pengetahuan.
Pengalaman diperoleh di peringkat universiti itulah yang akan menyediakan mereka untuk menjadi seorang yang berketerampilan, berpendidikan, berilmu dan mempunyai sahsiah tinggi.
Kerajaan hendaklah terus menekankan kepentingan kemahiran dan pembelajaran jangka pendek secara modular yang boleh dihimpunkan untuk disahkan sebagai pensijilan lebih tinggi di peringkat diploma, ijazah dan pasca ijazah.
Pembelajaran modular lebih memenuhi keperluan generasi muda pada masa kini kerana mereka tidak mahu untuk berada di dewan syarahan terlalu lama.

Dalam perkembangan lain, mereka yang baru menamatkan pengajian mengeluh agak sukar mendapat pekerjaan kerana kebanyakan majikan memberikan syarat mahukan pengalaman. Apa yang boleh Datuk ulas mengenainya?
Pengalaman bekerja merupakan satu aset amat bernilai bagi individu.
Para majikan amat menghargai pengalaman yang dimiliki pekerja mereka.
Bagaimanapun, masih ada pekerjaan yang memerlukan pengalaman bekerja minimal atau tidak memerlukan pengalaman langsung.
Dengan adanya inisiatif kerajaan, contohnya Penjana Kerjaya, para majikan akan lebih terdorong untuk mengambil para graduan yang tidak ada pengalaman untuk bekerja dengan mereka.














