fbpx

Peguam tampil bantu Muhammad Omar dapatkan MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASRAT Muhammad Omar (dua dari kanan) untuk menyambung pengajian dan menjadi guru buntu selepas dia tidak mempunyai MyKad.

PETALING JAYA – Bekas pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman akan dibantu oleh peguam, Latheefa Koya dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan yang dihadapinya.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, Latheefa telah menyatakan persetujuan untuk membantu lepasan STPM tersebut selepas diminta oleh pihaknya untuk berbuat demikian.

“Kami minta Latheefa jadi peguam Omar. Pendapat saya Latheefa antara peguam yang paling memahami kes-kes taraf kewarganegaraan. Ya (Latheefa telah bersetuju),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Latheefa juga merupakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Jun 2019 hingga Mac 2020.

Kosmo! semalam melaporkan, Muhammad Omar yang mendapat keputusan STPM Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.00 tidak dapat menyambung pelajaran dalam bidang perguruan ekoran status warganegaranya diragui.

Bapanya seorang warga Malaysia berasal dari Pendang, Kedah, namun tiada dokumen lengkap mengenai ibunya yang tidak ditemui Omar sejak berusia lima tahun.

Keadaan itu menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat meluluskan permohonannya untuk MyKad sewaktu berusia 12 tahun dan perlu membayar levi RM240 setiap tahun.

Mengulas lanjut, Hartini berkata, Muhammad Omar mendapat keputusan cemerlang dalam STPM, maka dia tidak sepatutnya dihalang daripada melanjutkan pelajaran sedang­kan dia tidak bersalah dalam masalah yang dialaminya.

“Saya faham betapa pahit dan seksa bila anak-anak tidak mempu­nyai dokumen yang cukup dan ditarafkan sebagai bukan warganegara atau tidak dapat ditentukan. Anak-anak ini semua tidak berdosa,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Omar ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, dia menyiarkan kisah hidupnya di media sosial dengan harapan akan mendapat perhatian pihak berwajib.

Katanya, dia dihubungi Yayasan Chow Kit untuk membantu, namun belum mene­rima sebarang panggilan daripada pihak berwajib setakat pukul 2 petang semalam.

“Saya dan keluarga berterima kasih kepada Yayasan Chow Kit kerana membantu dan mendapatkan khidmat peguam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI