fbpx
AYDA JEBAT

Berlakon bersentuhan, zaman itu sudah berlalu – Ayda Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sejak menggalas status sebagai isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata, penyanyi juga pelakon Ayda Jebat mengambil pendekatan untuk seboleh-bolehnya mengelak daripada melakonkan adegan bersentuhan, terutamanya dalam naskhah bertemakan percintaan klise.

Tegas Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 30, tempoh 11 tahun dalam industri turut mendorongnya untuk melakukan perubahan, lebih-lebih lagi ada nama baik suami dan keluarga yang harus dijaga.

“Memang saya seorang pelakon tetapi sekarang saya ada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Jadi sejujurnya, dah tak perlulah berlakon cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau pegang tangan dengan hero. Zaman itu sudah berlalu.

“Harap selepas ini saya dapat bawa watak yang tak pernah dijayakan sebelum ini. Saya juga nak elak cerita cinta yang klise,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Parah Parah itu, menyedari peranannya sebagai pelakon yang menjadi suri teladan kepada masyarakat, dia mahu mendidik penonton dengan naskhah yang lebih bermanfaat tanpa perlu ada babak berlebihan.

“Kita tak perlu pun buat cerita yang begitu sebenarnya. Ada banyak cerita bagus yang kita boleh buat tanpa memerlukan babak romantis, ambil contoh drama dan filem Korea Selatan.

“Tak bersentuhan dan bertepuk tampar, tapi tetap dapat buat kita senyum dan jatuh cinta dengan cerita mereka. Jadi kita (industri Malaysia) kena pergi ke arah itu. Berlakon tak perlu buat sesuatu yang kontroversi untuk viral,” katanya.

Perubahan statusnya kini menyedarkan Ayda bahawa selain nama baik sendiri, dia memikul tanggungjawab menjaga imej dan nama baik suami serta keluarga.

Ayda berkahwin dengan Nabil Mahir pada 1 Januari 2021 dan menimang cahaya mata sulung bernama Ana Nayla pada 21 September tahun sama.

“Kadang-kadang bila tengok pelakon yang dah kahwin buat aksi tak sepatutnya atau melampau, saya terus fikir, macam mana pasangan mereka boleh terima.

“Lagi pula, saya rasa itu adalah penderaan mental kepada peminat. Bila tengok babak sebegitu, mereka tidak rasa apa-apa ke atau rasa bersalah artis kesayangan buat begitu.

“Bagi saya, artis dianggap sebagai suri teladan, jadi kenalah bagi contoh yang baik. Mungkin dulu saya tak bagus dan tak baik. Orang boleh bercakap macam itu kepada saya tetapi selepas ini, ‘no more’, cukuplah,” katanya selepas selepas sidang akhbar Awesome Raja Lawak di Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini.

Dalam program yang memulakan siaran 7 September menerusi Awesome TV tersebut, Ayda diberi kepercayaan memegang peranan selaku juri tetap bersama Khir Rahman dan Saiful Apek. – KOSMO! ONLINE

POPULAR