fbpx

Tiada desakan campur tangan kes Najib – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.Foto - FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan mendapat sebarang desakan daripada UMNO agar beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

“Tiada, tiada,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Konsultasi Bajet 2023 di bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Terdahulu, satu mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO di ibu pejabat parti itu semalam difahamkan gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Najib.

Bekas Perdana Menteri itu kini sedang dalam proses rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ketika ditanya mengenai pertemuan bersama pemimpin UMNO di Kompleks Seri Perdana malam tadi, beliau memaklumkan bahawa ia adalah perjumpaan berhubung persediaan parti ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, perkara itu sebagaimana yang telah disebut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah mengenai perjumpaan ke arah mengukuhkan parti.

Berhubung desakan PRU15 diadakan lebih awal pula, beliau memaklumkan tidak mengetahui tentang perkara tersebut kerana tidak menghadiri pertemuan itu yang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Tak tahu saya, saya tidak ada semalam (mesyuarat UMNO), dengar Tok Mat (Mohamad Hasan) buat kenyataan semalam di Perak, antaranya memperkukuhkan parti,” ujar beliau.

Malam tadi, petugas media berkampung di hadapan Kompleks Seri Perdana di sini selepas mendapat maklumat kehadiran beberapa pemimpin tertinggi UMNO untuk bertemu Perdana Menteri sejurus tamat mesyuarat tergempar parti berkenaan di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI