fbpx

Adi Putra kecil hati, tetap pendirian tidak hadir ke Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADI PUTRA

PETALING JAYA – Aktor terkenal, Datuk Adi Putra teguh dengan prinsipnya enggan hadir ke tayangan gala filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.

Tegas Adim keputusan untuk tidak sama-sama menyertai tayangan gala yang dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos ini (Jumaat) dibuat kerana ekoran masalah komunikasi yang tercetus dengan penerbit filem berkenaan, Studio Kembara baru-baru ini.

Adi Putra ketika ditemui Kosmo! bagaimanapun berkata, pertimbangan mungkin boleh dibuat jika diminta pihak penganjur dari Indonesia, selain tidak terikat dengan apa-apa komitmen kerja di sini (Malaysia).

“Jika penganjur dari sana meminta saya hadir, insya-Allah saya akan hadir mengikut ruang dan waktu saya. Tapi sehingga sekarang mereka masih mendiamkan diri,” katanya kepada Kosmo!

Mengulas tentang tindakannya yang dilaporkan tidak menjawab panggilan telefon sebanyak 11 kali yang dibuat oleh produksi Kembara Studio Sdn. Bhd, Adi secara terbuka mengakui sudah terasa hati dengan syarikat produksi tersebut kerana sukar untuk dihubungi.

“Saya menerima 11 panggilan telefon daripada Kembara Studio namun saya tidak mengangkat panggilan tersebut kerana berasa terkilan.

“Saya sudah cuba menghubungi mereka selama dua minggu namun tidak mendapat respons. Tidak mengapalah, saya tidak menyimpan apa-apa perasaan dan telah pun meminta maaf,” ujarnya.

Tambah pelakon berusia 41 tahun itu lagi, dia mengambil sikap untuk berlapang dada dan mahu bersikap profesional terdapat perkara yang berlaku itu.

“Selepas pihak Kembara Studio membuat panggilan kepada saya sebanyak 11 kali itu, sehingga kini mereka tidak lagi hubungi saya.

“Pada saya angka 11 itu sudah pun cukup terperinci (menggambarkan perasaannya). Saya berlapang dada dan mendoakan semoga malam gala pada 26 Ogos nanti akan membuatkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mendapat perhatian yang besar di sana,” ujar Adi.

Dalam pada itu, Adi enggan memberi apa-apa keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran menjayakan Mat Kilau 2 kerana perlu membuat pertimbangan terlebih dahulu.

“Saya akan pertimbangkan jika ada sekuel Mat Kilau 2. Seperti yang pernah saya kata, komunikasi sangat penting.

“Komunikasi yang akan membawa kepada perbincangan. Saya akan pertimbangkan sewajarnya. Setiap pengajaran ada hikmahnya,” kata Adi.

Adi yang ditemui ketika majlis tayangan perdana Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di GSC Mid Valley itu menyifatkan dirinya cumalah seorang manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan atas apa yang berlaku.

“Saya manusia yang tidak sempurna. Manusia ada perasaan. Bila ada perasaan, aka nada sifat gembira, sedih dan marah,” katanya.

Sekadar info, Adi yang melakonkan watak utama sebagai Mat Kilau memuat naik hantaran dalam Instagramnya seperti menyindir pihak produksi filem yang sukar dicari.

Terdahulu, pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu menyuarakan hasratnya untuk menghadiahkan telefon bimbit kepada pihak Studio Kembara selepas didakwa susah untuk dihubungi.

Bintang filem terkenal kelahiran Singapura itu mendakwa terpaksa memilih media sosial agar ‘mesej’ yang ingin disampaikan dapat diterima Studio Kembara.

Bagaimanapun, penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mt Dali menafikan berlaku salah faham antara pihaknya dengan Adi Putra hingga aktor itu memuat naik hantaran sinikal dalam Instagram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI