fbpx
ERNIE ZAKRI dan suaminya, Syamel.

Syamel, Ernie ‘jual’ kisah cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEMAM konsert nampaknya semakin memanas. Semuanya, baik penyanyi mahupun penganjur, masing-masing ibarat melepaskan ‘gian’ membikin konsert selepas dua tahun terperam akibat pandemik.

Begitu juga dengan pasangan penyanyi popular Syamel dan Ernie Zakri yang tidak ketinggalan mengadakan konsert sulung mereka yang diberi judul Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta pada 23 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

Tidak sekadar mengikut trend, jelas Syamel pihaknya telah merancang untuk menganjurkan sebuah konsert bersama sejak dua tahun lalu.

Katanya, sejak dikenali sebagai pasangan duet bermula dengan program Duo Star pada 2016 sehinggalah muncul dengan single Aku Cinta, Takkan Terlerai dan Goodbye Hello, mereka tidak pernah mengadakan sebuah persembahan bersama untuk peminat.

“Ini merupakan masa yang paling sesuai untuk menghargai peminat menerusi sebuah konsert sebelum saya muncul dengan album pada hujung tahun nanti, Ernie pula tahun depan,” ujar Syamel.

Biarpun memiliki kelompok peminat tersendiri, Syamel dan Ernie tetap berasa bimbang sementelah ini merupakan konsert sulung mereka berdua.

Antara kebimbangan terbesar adalah soal sambutan peminat terhadap konsert yang dibawakan oleh label pengurusan mereka, Rocketfuel Entertainment.

“Memang berdebar dan ada rasa bimbang, adakah peminat akan datang?

“Selesa, sesuaikah lokasi yang dipilih? Kemudian melihat tiket-tiket konsert penyanyi lain yang habis terjual dalam tempoh satu jam atau tiga jam membuatkan kami rasa tekanan tersebut.

“Apa pun kami tidak mahu terlalu memikirkan perasaan bimbang, sebaliknya fokus untuk memberi yang terbaik dengan bantuan pengarah muzik, Aubrey Suwito,” kata Ernie.

SYAMEL dan Ernie bimbang memikirkan jualan tiket konsert sulung mereka memandangkan sesetengah jualan tiket konsert artis lain sebelum ini semuanya laris macam goreng pisang panas.

Berguru

Demi memberi persembahan terbaik, Syamel dan Ernie yang akan mempersembahkan sebanyak 23 buah lagu dalam konsert berkenaan kembali memasuki kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat.

Tidak menunggu lama, sebaik tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, Nur Khawla Soleha pada 22 Februari lalu, pelantun lagu Ku Bersuara itu terus memasuki kelas vokal.

“Sejujurnya, selepas melahirkan anak, vokal perlu diasah semula. Meskipun saya sendiri seorang guru vokal, tetapi demi memberi yang terbaik, saya dan Syamel memilih berguru dengan Syafinaz,” kongsi Ernie.

Mereka juga menuntut ilmu persembahan konsert daripada penyanyi terkenal, Anuar Zain dan Ziana Zain yang merupakan bapa serta ibu saudara Ernie.

Jelas Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, peluang menimba ilmu daripada penyanyi berpengalaman seperti Anuar tidak patut dilepaskan.

“Kami selalu curi masa Anuar dengan ajaknya keluar dan saya akan membawa buku untuk mencatit segala pesanan setiap kali bertemunya.

“Kita tahu bahawa Anuar seorang penyanyi konsert. Kami pun pergi menonton konsertnya bersama Ziana baru-baru ini, memang hebat.

“Sebagai penghibur, Anuar dan Ziana banyak memberi input seperti pakaian, cara berkomunikasi dengan penonton dan pelbagai lagi ilmu yang sangat berharga,” tutur Ernie.

Tambah Syamel, ilmu terbaik buat mereka berdua adalah menonton konsert penyanyi- penyanyi lain sebagai rujukan.

“Rasanya kami tonton hampir semua konsert penyanyi lain antaranya, Anuar dan Ziana Zain, Aina Abdul dan kumpulan Ruffedge untuk mengambil inspirasi.

ERNIE ZAKRI berasa lega memandangkan pengasuh warga Indonesia yang diambil untuk menjaga anak sulungnya kini sangat boleh diharap dan banyak membantunya menguruskan anak sewaktu dia keluar bekerja.
– MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Tengok konsert

“Ini adalah konsert pertama kami, jadi tiada pengalaman. Cara terbaik adalah dengan penonton konsert orang lain untuk melihat kelebihan dan kekurangan. Kami belajar daripada tontonan selain merujuk konsert-konsert penyanyi antarabangsa dalam YouTube,” kongsi Syamel.

Ditebak, adakah sukar untuk bekerjasama dalam sebuah konsert memandangkan kedua-dua mereka adalah penyanyi solo dengan status pasangan suami isteri?

Jawab Ernie, meskipun pada permulaan sukar untuk mencari titik temu disebabkan masing-masing mempunyai visi berbeza, namun persetujuan dapat dicapai dengan kehadiran Aubrey Suwito.

“Kami tidaklah bergaduh teruk. Sebabnya, sebelum berkahwin ketika merakam lagu duet sudah puas bergaduh (ketawa).

“Aubrey memang pendamai kami, kerana dia kami bertemu titik temu yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

“Insya-Allah kami akan tampilkan sesuatu berbeza dan berkongsi kisah perjalanan cinta kami di atas pentas konsert,” ujar Ernie.

SEDAR tiada pengalaman beraksi dalam konsert sendiri, Syamel menjadikan persembahan artis-artis besar yang pernah disaksikan sebelum ini sebagai rujukan.

Sedih, cemburu

Menjelang hari konsert yang bakal tiba dalam tempoh dua bulan sahaja lagi, jadual kedua-dua penyanyi yang baru bergelar ibu bapa itu amat padat.

Malah, Ernie juga terpaksa meninggalkan anak berusia lima bulan bersama pengasuh untuk terbang ke Jakarta dan Bandung, Indonesia demi promosi single Hal Hebat bersama kumpulan Govinda baru-baru ini.

“Saya boleh menangis apabila melihat gambar anak ketika bekerja. Rasanya semua wanita yang baru menjadi ibu mengalami perasaan serupa.

“Syamel pula berasa cemburu apabila anak menangis kemudian diam apabila dipujuk pengasuh. Terus tidak tenang hatinya untuk bekerja,” kata Ernie.

Meskipun sibuk dengan kerjaya, pasangan muda itu enggan melepaskan tanggungjawab menjaga anak sepenuhnya kepada pengasuh.

ERNIE dan Syamel menggunakan khidmat Aubrey Suwito sebagai pendama kuasa vokal masing-masing menjelang konsert.

Sebaliknya, mereka akan cuba sebaik mungkin untuk meluangkan masa dengan Khawla kerana bimbang terlepas perkembangannya.

“Sibuk macam mana sekalipun, saya akan pastikan kami berdua yang menidurkannya pada waktu malam.

“Selain itu, kami harus mengawal dan mengambil tahu semua perkembangannya setiap hari menerusi panggilan video,” ujar Syamel.

Ernie yang mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 22 Mac 2021 itu turut meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan dengan seorang pengasuh dari Indonesia yang baik dan boleh dipercayai untuk menjaga buah hati mereka.

“Saya berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan orang yang benar-benar baik untuk menjaga anak saya.

“Walaupun sukar untuk membina kepercayaan pada peringkat awal, sekarang saya sudah boleh untuk meninggalkannya dengan anak.

“Walaupun ada rasa sedih, tetapi niat saya setiap kali keluar bekerja, adalah untuk masa depan anak.

“Begitu juga dengan suami. Jadi, saya amat berharap peminat dapat memberikan sokongan penuh terhadap konsert sulung kami,” tutur Ernie menutup bicara.

Buat peminat yang ingin menyaksikan Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta, boleh mendapatkan tiket berharga RM200 hingga RM500 yang mula dijual sejak 15 Ogos lalu menerusi platform, UberTickets.my.

ERNIE, Syamel dan bersama pengacara majlis pada majlis sidang media konsert Syamel & Ernie Zakri Aku Cinta di ibu negara, baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN