fbpx

Peluang skuad dodgeball rampas gelaran dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN dodgeball lelaki dan wanita negara sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Edmonton dari 28 Ogos hingga 4 September ini.

PETALING JAYA – Pasukan dodgeball negara bertekad untuk merampas semula kejuaraan pada Kejohanan Dunia 2022 di Edmonton, Kanada dari 28 Ogos hingga 4 September ini.

Malaysia antara kuasa besar dodgeball dunia apabila berjaya menjuarai edisi Melbourne 2016 melalui skuad wanita, Toronto 2017 (lelaki dan wanita) serta Los Angeles 2018 (lelaki).

Bagaimanapun, hasrat untuk meneruskan kecemerlangan itu tidak menjadi kenyataan apabila skuad lelaki dan wanita terpaksa akur meraih tempat kedua sewaktu edisi 2019 di Cancun, Mexico.

RADHAKRISHNAN (dua dari kanan) menyerahkan jersi pasukan dodgeball negara kepada Lian Ker pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Menara KBS semalam.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk Radhakrishnan berharap kejayaan itu dapat diulangi semula pada edisi kali ini berdasarkan semangat juang tinggi ditunjukkan barisan pemain lelaki dan wanita.

“Kali ini kita akan menyertai tiga acara iaitu lelaki, wanita dan berpasukan campuran. Pencabar utama kita adalah Amerika Syarikat (AS) walaupun ada lagi beberapa negara seperti Mexico, Kanada dan Australia.

“Kita mahu mereka pulang dengan emas. Kita mahu negara berbangga dengan pencapaian kita pada kemerdekaan ke-65 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam.

LIAN KER (tiga dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Radhakrishnan (empat dari kiri) sempena Kejohanan Dodgeball Dunia yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Sementara itu, Lian Ker menegaskan, inilah masa terbaik buat para pemain negara kembali menjulang martabat Malaysia sekali gus menebus kehampaan mereka sewaktu edisi 2019 selepas dua tahun ia tidak dipertandingkan.

“Saya menyeru Kontinjen Malaysia untuk mempamer semangat juang tinggi dan melakar pencapaian terbaik sambil memperkukuhkan ikatan persahabatan dalam kejohanan ini sesama atlet daripada negara lain.

“Anda membawa nama negara dan anda juga membawa harapan seluruh Keluarga Malaysia. Seluruh warga Keluarga Malaysia akan sama-sama mendoakan anda semua di medan perjuangan nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI