BAGI mengejar impian melayakkan diri dan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 dua tahun lagi, beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sedia membuat percaturan mengenai masa depan mereka.
Meskipun berjaya mara ke final dan menjadi naib juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India minggu lalu, namun tidak ada jaminan buat pasangan No. 4 dunia itu untuk terus kekal sebagai gandingan.
Wooi Yik berkata, dia tidak tahu mengenai masa depannya selepas ini sama ada terus kekal bersama skuad kebangsaan ataupun bergerak secara profesional selain sedia membincangkan perkara itu bersama barisan kejurulatihan.
“Saya tidak tahu lagi (jadi profesional), cuma kita tengok macam mana perancangan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dengan kami. Sudah tentu saya mengharapkan untuk terus kekal dengan gandingan bersama Aaron.
“Sekiranya perancangan tidak setuju (kekal sebagai gandingan), kita akan berbincang lagi bagaimana selepas ini. Buat masa ini, saya tidak tahu (keluar BAM atau tidak),” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur gagal merangkul gelaran dunia kedua selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan straight-set 17-21, 16-21 di perlawanan akhir Ahad lalu.
Sementara itu, Aaron turut menyatakan hasrat untuk terus kekal bergandingan bersama Wooi Yik kerana menganggap mereka masih memiliki sasaran bagi menggalas cabaran negara memburu pingat emas Sukan Olimpik di LA nanti.
“Sekiranya perancangan jurulatih untuk kekalkan gandingan asal, saya rasa itu pun tidak ada masalah kerana kami ada sasaran lagi di Olimpik. Memang harapan adalah bagi mendapatkan pingat emas untuk karier kami.
“Bagaimanapun, untuk beberapa bulan ini memang ikut perancangan jurulatih. Kita rancang dahulu untuk kelayakan Olimpik tahun depan dan buat masa sekarang, kami hanya fokus pada diri sendiri sahaja,” ujarnya.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama Malaysia menjadi juara dunia selepas memenangi Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun selepas menewaskan gandingan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Selain pingat emas Kejohanan Dunia, juara Asia tahun lalu itu turut memenangi dua pingat gangsa Sukan Olimpik pada edisi Tokyo 2020 serta Paris 2024.














