fbpx

Kesusahan keluarga motivasi cemerlang STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Iskandar Firdaus (kanan) ceria bersama ibunya, Zaharah setelah memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM di SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kesukaran hidup keluarga menjadi motivasi terkuat buat Tengku Iskandar Firdaus Tengku Hasim, 20, untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Beliau berkata, bapanya, Tengku Hasim Tengku Jusoh, 57, bekerja kuat sebagai penjual sayur bagi membesarkan 12 adik-beradiknya.

“Ibu, Zaharah Awang, 58, pula merupakan suri rumah. Ayah sangat kuat bekerja dan cuma bercuti dua hari dalam setahun iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Seumur hidup kami sekeluarga tidak keluar berjalan-jalan beramai-ramai kerana tidak mampu. Saya berazam untuk mengubah nasib keluarga menerusi pelajaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.

Tengku Iskandar Firdaus berkata, beliau mahu menggembirakan ibu bapa termasuk membawa mereka melancong apabila berjaya kelak.

Tambah beliau, kegagalan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi walaupun memperolehi keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia juga menguatkan azamnya bagi mencapai kecemerlangan dalam STPM.

“Mungkin ada kesilapan teknikal berlaku sewaktu saya memohon dan merayu menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online tetapi hikmahnya saya memasuki tingkatan enam dan meraih kecemerlangan pada hari ini,” katanya.

Tengku Iskandar Firdaus yang berasal dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus merancang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak tidak jauh dari rumahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI