fbpx
FAIZAL (kanan) menjadi anak Malaysia pertama beraksi di liga berprestij di Belanda.

Faizal Saari cipta sejarah, sedia gegar Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

HOOFDKLASSE mungkin satu nama yang jarang didengari oleh peminat-peminat sukan tempatan tetapi tidak buat pencinta arena hoki tanah air.

Apa tidaknya, Hoofdklasse iaitu divisyen tertinggi Belanda merupakan saingan liga paling popular di Eropah, malah mampu menandingi kerancakan Liga Hoki Eropah (EHL).

Liga yang diperkenalkan sejak 1973 itu sentiasa menjadi idaman pemain hoki di seluruh dunia kerana prestijnya menyamai saingan bola sepak No.1, Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penantian Malaysia akhirnya terlerai apabila Faizal Saari bakal menjadi pemain negara pertama membuat penampilan di Hoofdklasse selepas khidmatnya di­sambar ZSV Schaerweijde.

Mesin gol skuad hoki Terengganu berusia 31 tahun itu akan menyarung jersi kelab yang baru dinaikkan pangkat dari divisyen kedua Belanda selama semusim mengikut kontrak ditetapkan.

Faizal antara empat muka baharu Schaerweijde selain Matt Bird, Thies Bakker serta Thur Stadelmaier bagi menghadapi musim baharu 2022/2023 yang akan bermula 3 September ini.

Biarpun Schaerweijde tidak gah seperti juara 22 kali, Bloemendaal, Amsterdam atau SV Kampong, tetapi situasi ini sebenarnya dilihat menguntungkan kedua-dua belah pihak termasuk skuad kebangsaan.

Pengalaman luas Faizal di pe­ringkat antarabangsa sehinggakan pernah dilabel salah seorang ‘wonderkid’ dunia selain kepakaran mengambil pukulan sudut penalti mampu menjadi senjata utama buat Schaerweijde.

Pemergian Faizal sebenarnya membawa misi besar kerana ia mampu menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai pemain negara disambar kelab-kelab utama Hoofdklasse pada masa depan.
Ia mirip pelan skuad Argentina yang mencipta kejutan merangkul pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 ­dengan kebanyakan pemain mereka ketika itu beraksi di Belanda dan juga Belgium.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Arul Selvaraj berharap langkah menghantar Faizal secara tidak langsung memberi pendedahan dan merasai peluang bermain di liga berkualiti tinggi.

“Ini adalah permulaan pertama untuk menghantar lebih ramai pemain negara ke liga berprestij seperti di Belanda. Kita akan fokus semula tahun depan sebab sekarang semua kelab dah daftar pasukan mereka.

“Kami ada program sekurang-kurang­nya 15 hingga 18 pemain ke luar negara dan tahun lalu kami juga dalam persiapan beker­jasama dengan sebuah kelab di luar negara untuk mengambil pemain kita beraksi di liga mereka.

“Sekarang pun sudah ada kelab yang dah bersedia untuk menampung pemain kita di sana seperti dari segi peralatan dan persiapan,” katanya.

Peluang keemasan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan salah seorang ahli lembaga Schaerweijde, Niek van Exel teruja untuk melihat impak empat pemain baharunya termasuk Faizal.

“Saya menaruh keyakinan tinggi dengan kumpulan pemain ini mampu membuatkan Schaerweijde menjadi lawan yang hebat kepada pasukan-pasukan lain.

“Kami merasakan tenaga-tenaga baharu ini mampu mencapai objektif pasukan. Mungkin juga kami mampu lakukan kejutan nanti,” kata Van Exel menerusi satu temu bual bersama portal Hoofdklasse Hockey.

Apa yang pasti, skuad kebangsaan amat menagih kemampuan Faizal agar Malaysia mampu mencapai keputusan positif pada pentas Piala Dunia 2023 di India bermula 13 hingga 29 ­Januari depan.

POPULAR