fbpx

Sempat berbual di telefon sebelum mati kena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI bilik tidur inilah Nur Asyqin (gambar kecil) ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan lecur di tangan akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, kelmarin.

GUA MUSANG – Seorang wanita sempat melihat anak keempatnya, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, berbual di te­lefon ketika hujan lebat sebelum kanak-kanak berkenaan ditemui tidak sedarkan diri akibat ter­kena renjatan elektrik di Kampung Baru Su­ngai Raya Luar di sini, kelmarin.

Bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 54, berkata, isterinya, Siti Noraini Rashid, 41, memberitahu, anak keempat daripada lima beradik itu berbual dengan rakannya sambil mengecas telefon.

Katanya, ketika kejadian hujan lebat dan dia sedang menunaikan solat asar di surau berhampiran rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman petir.

Tambahnya, dentuman berkenaan turut mengakibatkan tenaga solar di rumahnya terpadam.

“Kira-kira 15 minit selepas dentuman itu, isteri memaklumkan anak keempat kami pengsan di tempat tidur sebelum bergegas pulang dan mendapati Nur Asyqin tidak sedarkan diri.

“Saya dapati ditangan kanannya terdapat telefon serta pengecas telefon berdekatannya. Malah tangan kanan Nur Asyqin juga terdapat kesan lecur selain terdapat kesan terbakar pada tilam tempat tidurnya,” katanya semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, Nur Asyqin Qistina ditemui tidak sedarkan diri di atas tilam di bilik tidurnya dengan kesan melecur pada bahagian lengan.

Dalam pada itu, M. Nor Zawawi berkata, sikap tidak endahkan hujan dan petir mengakibatkan murid tahun enam sebuah sekolah di Kuala Betis di sini mene­mui ajal.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu mengakibatkan mereka kehilangan permata hati dalam sekelip mata

“Saya tidak mengesan sebarang perubahan terhadap dirinya kerana dia seorang periang dan peramah dengan ahli keluarga.

“Kami sempat makan te­ngah hari dan berbual bersama selepas dia pulang dari sekolah kira-kira pukul 4 petang sebelum saya ke surau untuk menunaikan solat asar,” jelasnya.

Sehubungan itu, M. Nor Zawawi berharap tragedi yang me­nimpa anaknya dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak bermain telefon ketika hujan atau ribut petir.

Katanya, ibu bapa harus me­ngawasi aktiviti anak-anak ketika ribut petir supaya kejadian me­nimpa anaknya tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kematian Nur Asyqin kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap penyongsang solar di rumahnya kira-kira pukul 4.50 petang.

Tambah Choon Foo, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI