SHAH ALAM – Keseronokan mendapat untung mudah sehingga RM5,000 bagi sekali pendaratan membuatkan sebilangan pemilik jeti termasuk yang berdaftar sanggup menjadi rakan kongsi penyeludup sekali gus menjawab persoalan mengapa aktiviti haram itu tidak pernah putus di Selangor.
‘Duit kopi’ berkenaan merupakan komisen antara dua hingga lima peratus yang dikenakan daripada nilai keseluruhan barangan yang didaratkan termasuk rokok dan arak.
Tindakan yang diibaratkan duri dalam daging itu membolehkan penyeludup mendaratkan mana-mana barangan mereka mengikut keadaan semasa bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Ketika mendedahkan kegiatan itu, Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penyeludup akan meletakkan bahan seludup bersama barangan lain yang mempunyai permit di dalam bot nelayan atau kapal sistem barter sebagai modus operandi.
Katanya, siasatan mendapati mereka memilih jeti yang lebih tersorok daripada pandangan awam untuk memunggah barangan yang tiba untuk didaratkan.
“Sindiket turut memilih jeti yang berdekatan dengan pelabuhan kerana boleh mengaburi pihak berkuasa kononnya bot atau kapal dagang yang digunakan sedang melakukan tugas-tugas ekonomi sah.
“Sebelum ini, pemilik jeti hanya mengenakan caj, namun sekarang mereka pula menjadi rakan kongsi. Contohnya kalau barang bernilai RM100,000, mereka akan mendapat dua hingga lima peratus iaitu antara RM2,000 hingga RM5,000 bagi sekali pendaratan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Siva Kumar, semakin tinggi nilai barang, lebih banyak komisen yang diperoleh dan itu akan membuatkan pemilik jeti gelap mata dan sanggup menjadi tali barut.

Tambahnya, ada juga penyeludup yang ‘kedekut’ apabila menggunakan 17 jeti terbiar atau terus ke pantai dan tidak melalui jeti bertuan di sekitar Selangor untuk memunggah barang.
“Kawasan perairan Selangor terbahagi kepada dua sektor. Jeti persendirian yang diluluskan paling banyak digunakan di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
“Di sebelah selatan merangkumi Klang hingga Kuala Langat terdapat 12 jeti dengan separuh daripadanya adalah haram,” katanya.
Ujar Siva Kumar, sindiket biasanya memunggah barang ketika maghrib dan awal pagi ketika air pasang, namun kadang-kadang berubah.
“Sindiket ini mendapat habuan lumayan kerana mereka menggunakan empat enjin yang mempunyai 200 kuasa kuda setiap satu dan mencecah 60 hingga 70 knot sejam. Harga sebiji enjin mencecah RM300,000,” katanya.
Bagaimanapun, Siva Kumar memberitahu, pihaknya sentiasa memantau perairan yang dikenal pasti lokasi penyeludupan sindiket dengan menggerakkan aset sambil dibantu pengawasan daripada Sistem Pengawasan Laut Malaysia.
“Ini terbukti apabila kita menggagalkan cubaan masuk dua buah bot dari Indonesia ketika mereka cuba menyeludup kontraban dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Tanjung Sepat, Kuala Langat pada pukul 2 petang 10 Julai lalu,” katanya.
Menurut Siva Kumar, sindiket berkenaan disyaki ingin menyeludup rokok, arak dan PATI, namun tidak berjaya.
“Mereka bukan ‘Superman’ boleh seludup semua barang dalam satu masa selain tidak mahu mengganggu bisnes sindiket lain.
“Ada dalam kalangan penyeludup bertindak agresif terutama ketika melarikan diri ketika hendak ditangkap,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, dua kes penyeludupan berjaya dipatahkan iaitu pada 22 Mei lalu melibatkan minuman keras dan rampasan sebuah lori bernilai keseluruhan RM325,000 dengan menahan lelaki warga Nepal di jeti Kanchong Laut, Banting Kuala Langat.
“Selain itu, kita juga berjaya menahan sebuah bot sistem barter di perairan Tanjung Harapan yang membawa sembilan kotak berisi pelbagai jenis ubatan kawalan tanpa permit pada 10 Jun lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE














