fbpx
SELAIN menyewa van atau memandu sendiri ke Hatyai, orang ramai juga boleh mengembara ke situ dengan menggunakan tren ulang alik (shuttle train) State Railway of Thailand (SRT) dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, Perlis.

Keunikan kembara dengan gerabak klasik ke Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELANCONG ke Hatyai, Thailand sememangnya menyeronokkan kerana banyak destinasi menarik untuk dikunjungi selain dianggap syurga makanan dan membeli-belah.

Sejak pintu sempadan dibuka dan kelonggaran diberikan pihak Thailand iaitu pengembara asing tidak perlu lagi memohon Pas Thailand dan membeli insurans Covid-19 untuk masuk ke negara Gajah Putih itu, semakin ramai yang teruja untuk berkunjung ke sana.

Pengembara bagaimanapun masih perlu menunjukkan bukti mereka sudah divaksin atau menunjukkan keputusan ujian Covid-19 negatif bagi mereka yang tidak atau belum lengkap divaksin.

Selain menyewa van atau memandu sendiri ke Hatyai, orang ramai juga boleh mengembara ke situ dengan menggunakan tren ulang alik (shuttle train) State Railway of Thailand (SRT) dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, Perlis.

Tren ulang alik SRT itu mula dibuka kepada orang ramai pada 15 Julai lalu selepas lebih dua tahun tidak beroperasi berikutan pandemik Covid-19.

Orang ramai boleh membeli tiket di kaunter SRT untuk perjalanan Padang Besar-Hatyai hanya pada harga 50 Baht atau kira-kira RM6.30.

Mereka seterusnya perlu melalui pemeriksaan imigresen dan kastam di pihak Malaysia dan Thailand sebelum dibenarkan menaiki tren ulang alik itu.

Penumpang Malaysia yang menaiki kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Padang Besar ke Hatyai baru-baru ini menikmati pemandangan indah dari dalam gerabak tren lama itu yang cuma dilengkapi kipas pada bumbungnya. – SHAHIR NOORDIN

Perjalanan dari Padang Besar ke Hatyai mengambil masa 55 minit dengan trip pertama berlepas pada pukul 9.55 pagi (waktu tempatan), manakala trip kedua 4.40 petang (waktu tempatan).

Sementara itu, trip pertama dari Hatyai ke Padang Besar pula berlepas pada pukul 7.30 pagi (waktu Thailand), manakala trip kedua pukul 2 petang (waktu Thailand).

Penulis dan kumpulan media baru-baru ini berpeluang menaiki tren ulang alik SRT ke Hatyai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis, Asmaiza Ahmad serta delegasi kerajaan negeri dalam lawatan ke Stesen KTMB Padang Besar, Perlis seterusnya ke Stesen Hatyai yang dikendalikan SRT.

Dalam lawatan itu, Asmaiza telah mengedarkan risalah promosi pelancongan negeri Perlis kepada penumpang tren SRT di Padang Besar, Perlis dan Hatyai.

Setelah selesai mengedarkan risalah tersebut, rombongan naik ke tren ulang alik dengan empat gerabak itu dan apa yang menarik, ia merupakan tren lama kelas tiga yang tiada pendingin hawa dan hanya dilengkapi deretan kipas pada bumbung pengangkutan tersebut.

Rata-rata penumpang dilihat teruja mengambil angin dari tingkap yang terbuka sambil menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan.

Boleh dikatakan pengangkutan yang disediakan agak selesa untuk perjalanan selama 55 minit dari Padang Besar ke Hatyai.

Stesen Keretapi Hatyai kelihatan sesak dengan kehadiran pengunjung yang kebanyakannya menggunakan perkhidmatan kereta api dari Padang Besar, Perlis ke Hatyai.

Tren tersebut akan melalui dan berhenti sekejap di dua stesen iaitu Stesen Padang Besar, Thailand dan Stesen Khlong Ngae sebelum tiba di Stesen Keretapi Hatyai yang dikenali dengan nama Hatyai Junction.

Penumpang dari Sungai Petani, Kedah, Nur Aiman Azali, 42, berkata, dia sudah lama menyimpan keinginan menaiki tren tersebut ke Hatyai, berbanding menaiki kenderaan sendiri bersama keluarga.

“Saya nak rasai sendiri pengalaman menaiki tren ini dan apa yang menariknya saya dapat menikmati suasana dalam gerabak lama. Ia bagaikan mengimbau zaman dulu-dulu.

“Sepanjang perjalanan memang tidak jemu kerana saya boleh lihat pemandangan di negara orang. Memang berbeza dengan negara kita,” katanya ketika ditemui K2.

Ceritanya, sepanjang perjalanan itu, dia melihat pemandangan rumah penduduk yang terletak berhampiran landasan kereta api selain turut melalui bandar kecil di situ.

“Saya juga dapat menikmati kawasan lapang yang hijau dengan bukit bukau. Tak terasa pun perjalanan selama 55 minit,” ujarnya.

Menurutnya, harga tiket juga murah iaitu kira-kira RM6 sahaja dan sebaik tiba di Hatyai Junction, banyak kenderaan pikap yang diubah suai untuk memuatkan penumpang dengan dua barisan bangku panjang di belakang atau dikenali sebagai songthaew sudah menunggu.

“Selepas ini saya akan naik tren ini lagi sekiranya mahu ke Hatyai kerana sangat mudah dan murah,” katanya.

Ujarnya, dia ke Hatyai selepas lebih tiga tahun tidak berkunjung ke sana ekoran pandemik Covid-19.

“Daripada pemerhatian saya, Hatyai belum lagi rancak sepenuhnya, mungkin ia mengambil masa untuk menjadi meriah seperti sebelum ini,” katanya yang sangat gemar makanan Thailand seperti tomyam dan pulut ayam.

Seorang lagi penumpang dari Kangar, Perlis, Muhammad Ekmal Hakim Abdullah, 29, berkata, dia sebelum ini agak takut untuk menaiki kereta api untuk ke Hatyai.

“Saya ingat susah dan tidak selesa naik kereta api ke Hatyai, namun rupa-rupanya tanggapan saya salah kerana sebenarnya mudah dan menyeronokkan juga guna pengangkutan ini ke sana.

“Pengalaman berbeza berbanding naik kereta sendiri kerana kita boleh nikmati pemandangan di sepanjang perjalanan ini dengan tenang,” katanya.

Beginilah suasana bandar Hatyai yang sentiasa menggamit pelancong dari Malaysia.

Ujarnya, tren lama yang digunakan juga kelihatan klasik dengan penggunaan peralatan seperti kerusi dan kipas lama.

“Ia memang berbeza dengan kemudahan tren di negara kita yang mana semuanya moden dan sudah dilengkapi pendingin hawa. Di tren ini kita boleh buka tingkap dan hirup udara segar di sepanjang perjalanan,” katanya.

Ujarnya lagi, penumpang juga boleh melihat penempatan penduduk dan haiwan ternakan tidak jauh dari landasan kereta api.

“Kita juga akan melalui kawasan lapang menghijau berlatar belakangkan bukit-bukau dari kejauhan. Saya kira kita boleh redakan tekanan dengan melalui pengalaman menenangkan ini,” luahnya.

Seorang lagi penumpang, Salini Said, 42, teruja menaiki tren ulang-alik tersebut kerana mudah dan murah.

“Kalau naik tren ini memang tidak akan sesat. Turun saja di stesen Hatyai, kita boleh naik pikap yang dengan bayaran tertentu untuk ke mana saja.

“Selepas ini saya bercadang untuk bawa keluarga menaiki tren ke Hatyai untuk menikmati makanan lazat dan membeli-belah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN