fbpx

Duopharma Biotech catat untung RM21.47 juta suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM21.47 juta pada suku kedua 2022, dengan peningkatan sebanyak 6.3 peratus  berbanding suku yang sama sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh jualan yang lebih baik dalam segmen klasik beretika dan sektor kesihatan awam dalam tempoh berkenaan.

Keuntungan bersih meningkat sebanyak enam peratus ketika suku berkenaan kepada RM16.31 juta, dipacu oleh peningkatan 17 peratus dalam pendapatan menjadikan jumlahnya RM181.74 juta.

Modal Kumpulan juga meningkat kepada RM419.36 juta pada 30 Jun 2022 berbanding RM405.85 juta pada akhir tahun sebelumnya.

Pengarah Urusannya, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, keyakinan terhadap prestasi Kumpulan untuk baki bulan tahun ini, disokong oleh momentum pertumbuhan positif yang dilihat dalam ekonomi Malaysia berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, serta peningkatan peruntukan belanjawan kerajaan dalam segmen farmaseutikal tahun ini.

Menurut beliau, tender kerajaan sebanyak RM375 juta untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulation selama tiga tahun sehingga 2025 dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan selain pelanjutan kontrak untuk terus membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital kerajaan dan klinik sehingga akhir 2022.

“Untuk jangka panjang, kami sentiasa meneroka peluang baharu bagi mengembangkan portfolio produk kami dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk tawaran sedemikian dalam masyarakat yang semakin menua. 

“Kami juga sedang mencari potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam ASEAN untuk meningkatkan pendapatan luar negara kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Baru-baru ini, Duopharma Biotech mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi makanan The Live Green Co. dari Amerika Syarikat untuk bersama-sama meneroka pembangunan makanan kesihatan berasaskan tumbuhan dan farmaseutikal dengan menggantikan bahan berasaskan haiwan, sintetik atau ultra-diproses. 

Kerjasama itu akan melibatkan penyelidikan dan pembangunan dengan matlamat untuk mencipta rangkaian baharu makanan berfungsi tumbuhan sahaja untuk memenuhi keperluan pesakit dengan keperluan pemakanan khas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI