fbpx

UPM kuasai 4x100m SUKIPT 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuartet 4x100 meter lelaki UPM tawan SUKIPT 2022.

TANJUNG MALIM – Meskipun melakukan persiapan terakhir namun ia tidak menjadi masalah buat kuartet 4×100 meter (m) lelaki dan wanita pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjelmakan kilauan pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Gandingan kuartet lelaki UPM ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menggungguli acara yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

UPM yang dibarisi Andre Anura Anuar, Muhammad Zulfiqar Ismail , Benedict Ian Gawok dan Mohd. Rizzua Haizad Muhamad berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 42.02 saat (s).

Pelari kebangsaan, Muhammad Zulfiqar Ismail menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil gandingan dan persefahaman yang baik meskipun dibentuk dalam tempoh singkat.

“Walaupun pasukan ini pertama kali dibentuk, tetapi saya sangat berpuas hati dengan prestasi daripada semua pelari lain.

“Sebenarnya kami tak pernah berlatih bersama sebelum ini disebabkan gandingan ini dibentuk betul-betul sebelum acara ini bermula.

“Bagaimanapun, semua dapat lakukan yang terbaik dan berjaya hadiahkan satu pingat emas buat UPM,” katanya semasa majlis penyampaian pingat di Stadium UPSI, petang tadi.

Pingat perak diraih kuartet dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membuat catatan masa 42.17s dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan saingan di tempat ketiga selepas merekodkan 43.26s.

Sementara itu, kuartet wanita UPM yang dibarisi Mandy Goh Li, Darshini K Murugan, Nur Fatihah dan Ng May Xin Winnie berjaya mengesahkan pingat emas buat mereka selepas membuat catatan masa 50.00s.

Pingat perak berjaya diraih kuartet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan catatan masa 50.05s dan gangsa menjadi milik UPSI, 53.75s.

Setakat ini, UPM cemerlang di arena trek dan balapan SUKIPT 2022 apabila berjaya mengutip enam daripada 11 emas yang ditawarkan pada hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI