fbpx

Muka ditoreh selepas enggan bayar ganti rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Hanya disebabkan tidak mahu membayar kos kerosakan kereta akibat kemalangan, seorang lelaki sanggup menoreh muka rakannya sendiri dalam kejadian di padang bola jaring, Merdeka Villa di sini pada Rabu lalu.

Difahamkan, suspek berusia 24 tahun itu telah diajak berbincang oleh mangsa mengenai kemalangan yang berlaku namun suspek enggan membayar kos kerosakan sebelum tiba-tiba menoreh muka mangsa dan melarikan diri.

Kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa yang juga berusia 24 tahun memandu kereta milik suspek sebelum terlibat dalam kemalangan pada April lalu. Mangsa disyaki tidak mahu membayar kos kerosakan selain memarahi suspek.

Pada Rabu lalu, mangsa telah menghubungi suspek untuk berjumpa dan berbincang di padang bola jaring berkenaan kira-kira pukul 6 petang sebelum suspek cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa menggunakan pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan kejadian, pihaknya telah menjalankan serbuan di sebuah rumah di Semenyih, Kajang bagi menahan suspek yang disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Serbuan telah dilakukan awal pagi tadi kira-kira pukul 2 pagi dan berjaya menahan suspek manakala pisau lipat yang digunakan semasa kejadian telah dibuang sekitar lokasi kejadian melarikan diri.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai 11 rekod lampau berkait jenayah dan dadah sementara ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati, punca kejadian akibat perselisihan faham kerana enggan menanggung kos membaiki kenderaan selepas terbabit kemalangan.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI